Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA pelik kerana Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi semalam mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan sebuah sekolah di kawasan Parlimen Kimanis.

“Pelik! Menteri Pelancongan tapi umum peruntukan kepada sekolah? Sejak bila sekolah dijadikan pusat pelancongan?

“Kalau sekolah menjadi destinasi pelancong baru, Malaysia mempunyai tambahan destinasi pelancongan kerana kita mempunyai 10,000 buah sekolah. Tahniah Menteri yang kreatif! Atau Mohamaddin sudah bosan jadi Menteri Pelancongan dan mahu tukar portfolio jadi Menteri Pendidikan yang masih kosong ketika ini?,” sindir Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ironinya, semasa PRK Semenyih pada Februari tahun lalu, Mohammaddin juga ada mengumumkan peruntukan RM80,000 untuk memulihkan dewan di Semenyih.

Tetapi, katanya, menteri itu menarik balik peruntukan tersebut selepas mendapati langkah tersebut melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (di bawah) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Namun kali ini di Kimanis, nada menteri dari parti Warisan ini angkuh semacam. Mungkin sebab calon PRK Kimanis juga dari parti Warisan?,” katanya.

Namun, secara sinikal, Ka Siong bertanya apa cerita ‘Janji 17: Menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya’ seperti yang termaktub dalam manifesto Buku Harapan?

Selain itu, mereka yang menandakan tanda suka pada laman Facebook Tourism Malaysia Sabah berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti tiket penerbangan dan barangan elektrik.

Dedah Ka Siong, keputusannya akan diumumkan pada jam 2 petang setiap hari.

“Wow setiap hari! ‘Like’ FB Tourism Malaysia Sabah dan berpeluang dapat hadiah?,” ujarnya.

Soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu adakah pendekatan itu mahu menjayakan Siri Jelajah Cuti-Cuti Malaysia atau mahu menambah bilangan ‘like’ FB, ada kena mengena dengan PRK Kimanis atau gula-gula PRK Kimanis.

“Apa kata SPR? Berani ke ambil tindakan terhadap menteri dari parti Warisan ini?,” katanya yang menyifatkan PRK Kimanis menyaksikan pemimpin PH berterusan melanggar undang-undang pilihan raya, sama seperti pilihan raya kecil lain yang berlangsung selepas PRU14.

Tanya beliau:”Adakah mereka berani langgar sebab SPR tidak ambil tindakan sebelum ini?”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast