KIMANIS – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan agar meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya daripada mencampuri urusan orang Sabah, khususnya di Parlimen Kimanis.
Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang berkata, Najib yang lebih dikenali sebagai bossku berkemampuan untuk berbuat demikian berbanding dirinya.
“Kalau dahulu kita kawan, kita bagi nasihat. Bossku pun agak lanjut umurnya juga. Luangkan masa terbaik bersama cucu.
“Lebih senang lagi pasal bossku itu memang mampu.
“Kuda tua ini ada bos lain lagi…jadi bosku di Kimanis ini tidak mampu nikmati hidup (berehat), terpaksa juga jadi wakil rakyat, ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dengan Ahli-ahli UPKO Dun Membakut, di sini, hari ini.
Beliau mengulas komentar Ahli Parlimen Pekan itu di Facebook miliknya hari ini yang mengatakan Karim sebagai parah kerana melabelkan Najib sebagai kuda yang makan rumput Mongolia.
Najib turut menyifatkan Karim sebagai terkena penyakit beliau atau dipercayai merujuk kepada seorang wakil rakyat di Melaka.
“Saya pun tak tahu, kenapa ‘beliau’ ni allergic sangat dengar nama saya,” ulas Najib dalam hantaran di Facebook miliknya.
Sementara itu, Karim juga meminta Najib menjelaskan tentang kegagalannya menunaikan janji pilihan rayanya kepada pengundi di Bongawan pada PRU14 lalu.
“Saya mahu tanya, Bossku dulu dalam PRU13 ada menjanjikan mini stadium untuk Bongawan.
“Saya lalu dua tiga kali di Bongawan, belum ada lagi, cuba kamu bagi tahu dengan Bossku apa jadi dengan projek yang telah beliau luluskan.
“Datuk VK Liew bilang tiang pun tiada, habuk pun tak ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette