KIMANIS – Calon mana-mana pilihan raya tidak diukur kepada faktor umur, agama atau bangsa semata-mata sebaliknya ia juga mengambilkira rekod prestasi seseorang individu dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya memilih calon yang mampu melaksanakan tugas kepada rakyat tanpa mengira orang tua mahupun muda.
“Hari ini mereka (Barisan Nasional)-BN) kutuk Datuk Karim Bujang, calon orang tua. Saya mahu tanya Presiden UMNO berapa umur dia? Timbalan Presiden UMNO berapa tahun umur dia? Bossku berapa tahun umur dia?
“Bukan ukurannya muda dan tua, apa ertinya kalau muda tidak menunaikan tanggungjawab, kalau pemuda tak boleh tunaikan tanggungjawab, yang tua tunaikan tanggungjawab, bagus lagi yang tua.
“Calon bukan diukur bukan daripada umurnya, diukur bukan kepada bangsanya, diukur bukan kerana agamanya, tapi diukur kepada perkhidmatannya,” katanya berucap dalam Himpunan Anak Muda Kimanis di Plaza Bongawan malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd Shafie juga membidas pemimpin BN yang menyalahkan calon Warisan kerana gagal membawa pembangunan ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut dan Bongawan selama lima penggal lalu.
“Karim Bujang, berapa peruntukan ADUN, gaji RM5,000 sebulan. Bolehkah dia bawa pembangunan di Kimanis? Orang cakap dia gagal, gaji RM5,000 boleh bantu (rakyat) kah?
“Tuduh pula rumah itu rumah ini, mereka (BN) rumah besar boleh, Karim rumah besar tidak boleh. Jangan hina orang, jangan fitnah orang dalam perjuangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette