Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 18 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Meskipun memainkan peranan penting tetapi kerajaan tidak perlu terlibat dalam perniagaan.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tunku Alizakri Alias berkata, peranan kerajaan diperlukan untuk menetapkan hala tuju ekonomi yang betul dan memastikan semua infrastruktur yang diperlukan oleh pemain-pemain industri mencukupi agar objektif perniagaan dapat dicapai.

Mengambil contoh, beliau bertanya, adakah Malaysia sudah mempunyai hala tuju yang jelas untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Apa yang hendak kita capai pada tahun 2030. Pada saya ia adalah peranan penting kerajaan sekarang.

“Jadi, perniagaan boleh memulakan langkah untuk memainkan peranan masing-masing,” katanya dalam Forum Integriti Bank Rakyat 2020 hari ini.

Tunku Alizakri Alias menambah, untuk itu, kerajaan juga perlu memastikan pelantikan-pelantikan yang dibuat terdiri daripada individu yang betul – memiliki kemahiran dan kecekapan serta layak dengan jawatan lantikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengawas-pengawas selia negara perlu memahami peranan masing-masing dalam industri yang dipertanggungjawabkan.

Ini kerana, katanya, salah satu cabaran yang KWSP hadapi adalah menangani salah satu daripada dua pengawal selia yang tidak memahami perniagaan yang dilakukan oleh KWSP kerana kerumitan perniagaan yang ketara.

“Jika mereka memberitahu kami apa yang perlu dilakukan apabila mereka tidak memahami perniagaan KWSP, maka akan mencetuskan masalah lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast