KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia disarankan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas Influenza A bagi menghadapi wabak tersebut di samping menyebarkan informasi berkaitan terutama berhubung cara-cara pencegahan bagi menenangkan orang ramai.
Jawatankuasa tersebut dicadangkan untuk membuka bilik gerakan khas di kawasan terjejas teruk untuk menyelaraskan pembahagian ubatan dan vaksin selain bertanggungjawab melaporkan perkembangan terbaharu wabak termasuk jumlah pesakit, lokasi jangkitan, stok vaksin dan jumlah kematian.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Dr Lee Hong Tee berkata, penyebaran wabak Influenza A serta masalah kekurangan vaksi membuktikan kerajaan tidak cekap.
Tegasnya, kerajaan perlu mencari jalan mendapatkan lebih banyak vaksin dan mengagihkannya secara efektif.
“Semalam, Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dzulkefly Ahmad berkata, masalah stok vaksin sudah diselesaikan. Namun apa yang rakyat lihat dan rasai adalah sebaliknya, iaitu vaksin masih kekurangan, malah ubat-ubatan juga tidak mencukupi.
“MCA berasa sangsi, sama ada Kementerian Kesihatan betul-betul mengetahui keadaan sebenar. Dari mana ia mendapati informasi tentang vaksin yang mencukupi? Apabila kenyataan seorang menteri tidak bersandarkan fakta, ia amat tidak bertanggungjawab, malah mengecewakan.
“Kerajaan nampaknya tidak mampu melakukan apa-apa terhadap penularan wabak H1N1 ini, malah tidak bertindak serius walaupun telah berlaku kematian, seolah-olah nyawa itu tidak penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Hong Tee, kerajaan sehingga kini belum mengeluarkan sebarang arahan mahu pun pelan tindakan berhubung penyebaran wabak Influenza A.
Ini menurut beliau, menyebabkan rakyat berasa takut dan risau.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial MCA menyamakan perkembangan terbaharu itu dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Johor tahun lepas.- MalaysiaGazette