Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar bercakap semasa temubual khas bersama Malaysia Gazette di Grand Seasons Avenue, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Kisah segelintir murid yang berkasut koyak, memakai pakaian lusuh dan tidak mampu beli peralatan dan buku sekolah kerap kali didengar setiap kali sesi baru persekolahan bermula.

Sama juga dengan luahan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang tetapi hanya mampu berputih mata melihat tawaran daripada universiti-universiti dek kekangan kewangan.

Kesempitan kewangan yang dihadapi oleh keluarga bukan sahaja menyebabkan mereka tidak mampu membayar yuran pengajian mahupun asrama bahkan ada yang tidak memiliki wang saku pun untuk menaiki bas untuk sampai ke menara gading.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, kisah-kisah ini adalah realiti dalam kehidupan golongan berpendapatan rendah dan miskin di negara ini.

YaPEIM yang mengikuti perkembangan ini tidak mahu masalah kemiskinan dan kekangan kewangan ini menutup peluang pendidikan kepada golongan remaja dan belia cemerlang negara, lantas mendorongnya merealisasikan Dana Inspirasi Malaysia, satu inisiatif Program Pembangunan Sosio Ekonomi dan Amal Jariah yang telah dicetuskan pada tahun 2018 lagi.

Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar .

Dana Inspirasi Malaysia ini akan menarik dan menggembleng sumbangan daripada pelbagai sumber khususnya daripada sektor korporat dan orang ramai.

Inisiatif ini selaras dengan Gagasan Rahmah di bawah Kerajaan Persekutuan yang menekankan kepada aspek menyantuni masyarakat dan memberi kesejahteraan hidup.

Ia juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang disasarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersati dalam memperkasakan masyarakat Malaysia melalui pendidikan saksama dan mampan.

Sebagai permulaan, YaPEIM mensasarkan sumbangan sebanyak RM40 juta pada tahun ini untuk diagihkan kepada seberapa ramai pelajar yang boleh.

Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar 

Setakat ini, sebanyak 147,000 borang permohonan telah dikeluarkan dan 50,000 sudah diserahkan semula kepada YaPEIM untuk penilaian dan saringan.

Kerja-kerja amal jariah ini sudah pun mendapat maklum malas positif apabila Yapeim sudah memperoleh kira-kira RM3.5 juta dan dijangka jumlah itu meningkat dengan kempen-kempen yang sudah diatur sejak dana ini dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada November tahun lalu.

“Permohonan untuk pelajar sekolah kebangsaan dan menengah akan ditutup pada 31 Januari ini,” katanya sambil memberitahu permohonan untuk bakal mahasiswa pula akan dibuka selepas keputusan SPM diumumkan nanti.

Permohonan dibuka kepada warga Malaysia dari keluarga B40 untuk semua peringkat pendidikan atau pengajian.

Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar 

Mohd Daud berkata, kadar bantuan yang diberikan adalah sehingga RM500 untuk pelajar sekolah dan RM1000 untuk penuntut IPT.

Setakat ini permohonan untuk persekolahan paling tinggi diterima dari Kelantan dan Terengganu.

Sehubungan itu, Mohd Daud mengalu-alukan penyertaan sektor swasta dari semua sektor termasuk institusi zakat dan wakaf serta individu untuk bersama-sama menjayakan program ini.

Menurut beliau, penyertaan pelbagai pihak bukan sahaja membolehkan YaPEIM menyediakan ‘payung’ kepada golongan yang memerlukan tetapi memastikan mereka ‘boleh buka paip untuk mendapatkan air’.

Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar 

Mohd Daud menambah, kewujudan dana ini sebenarnya memberi kemudahan kepada sektor swasta untuk mengagihkan bantuan-bantuan seumpama ini kerana YaPEIM akan bekerjasama dengan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan pihak-pihak berkepentingan dalam menilai dan menyaring keluarga yang benar-benar layak dibantu menerusi Dana Inspirasi Malaysia.

“Yayasan ini milik kerajaan, kewangan dan operasinya diaudit oleh Audit Negara. Pengurusan Yapeim berfungsi secara profesional dalam memberi bantuan kepada masyarakat melalui saringan yang betul, sekali gus memudahkan sektor korporat,” ujarnya.

Dana itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM dan penyumbang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast