KIMANIS – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin berpuas hati dengan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang berjalan dengan lancar dan beliau berharap ia akan berterusan hingga pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang nanti.
Menurut Mohamad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mendapat pujian kerana berjaya membuat persiapan rapi bagi memastikan proses pengundian bagi kawasan P176 itu dilaksanakan dengan baik dan teratur.
“Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya mendoakan proses akan berjalan lancar pada hari ini.
“Insya-Allah saya akan ambil masa sebelah tengah hari atau pagi ini untuk meninjau proses pembuangan undi di sekitar Parlimen Kimanis ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Old Lady, Kampung Kelatuan, Batu Enam, di sini, hari ini.
Terdahulu Mohamad membuang undi di pusat mengundi, Sekolah Kebangsaan Old Lady pada jam 9.14 pagi tadi.
Sementara itu, lawannya, Datuk Karim Bujang yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi calon pertama membuang undi dalam PRK Parlimen Kimanis di Sekolah Kebangsaan Kimanis, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu ketika ditemui MalaysiaGazette melahirkan rasa puas hati kerana suasana proses pengundian pada pagi ini dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Saya lihat dari pagi tadi, suasana amat harmoni dan pegawai-pegawai SPR yang ditugaskan telah menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka dengan baik.
“Pengundi-pengundi juga nampak agak berdisiplin dan mereka mengikuti apa juga peraturan yang ditetapkan oleh pihak SPR.
“Saya berharap suasana begini akan berterusan, cuaca cerah pagi ini juga menjadi penyebab kepada kelicinan proses pembuangan undi di SK Kimanis ini,” katanya.
Dalam pada itu, Karim juga menasihatkan para pengundi di Parlimen Kimanis agar keluar mengundi lebih awal kerana pada sebelah petang cuaca dijangka hujan.
“Mengikut kajian cuaca katanya pada petang ini mungkin ada hujan. Kalau hujan agak sukar sedikit.
“Saya nasihatkan pengundi-pengundi keluar awal dan jangan tunggu saat akhir supaya dapat membuang undi dengan selesa tanpa banyak masalah,” katanya.
Karim juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas parti dan badan beruniform yang membantu memastikan proses kempen dan pengundi dalam keadaan selamat.
“Saya berharap mereka akan terus memastikan pembuangan undi berjalan dengan lancar sehingga proses pengiraan undi.
“Bagi pihak calon yang bertanding sekali lagi saya merakamkan terima kasih kepada semua pengundi di Parlimen Kimanis ini atas kerjasama dan juga sokongan mereka kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette