BANGKOK- Hampir 300 tulang berjaya dikeluarkan dari sebuah kolam berhampiran rumah suspek pembunuhan seorang wanita berusia 22 tahun.
Para penyelam menemui keseluruhan 288 ketul tulang dari sebuah kolam kira-kira lima meter daripada lokasi di mana satu rangka manusia ditemui pada Khamis.
Rangka yang dibalut dengan pakaian dan cadar itu disorokkan di bawah satu objek besi yang besar dan diikat dengan rantai besi dan pengangkat berat.
Pencarian di dalam kolam itu dibuat selepas pihak polis percaya dengan testimoni saksi yang mengatakan terdapat kemungkinan dua lagi mayat berada di dalam kolam berhampiran rumah suspek.
Apichai Ongwisit, 40, ditahan di rumahnya awal bulan ini selepas polis menemui mayat teman wanitanya yang berusia 22 tahun yang hanya dikenali sebagai Kik.
Mayat Kik yang dibalut dengan beg plastik ditemui ditanam di kawasan rumah suspek.
Menurut pihak polis, mayat wanita itu dikenal pasti oleh ahli keluarganya berdasarkan tatu gambar ikan di bahagian belakang badannya.
Menurut seorang penyelam daripada Yayasan Ruam Katanyu, Anusorn Pongkesa, kebanyakan daripada 288 tulang itu adalah tulang manusia.
Katanya, seramai 20 penyelam menyertai pencarian yang memakan masa selama lima jam itu.
Menurut seorang sumber yang rapat dengan penyiasatan tersebut, polis merancang untuk mengeringkan kolam berkenaan bagi mencari lebih banyak bukti kerana mereka percaya sekurang-kurangnya ada tiga lagi orang masih hilang.
Kesemua tulang berkenaan dihantar ke Hospitak Siriraj untuk pemeriksaan dan identifikasi.
Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengatakan tulang-tulang yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan mayat Kik.
Selain kerusi batu, sebuah pagar besi turut ditemui dan dipercayai digunakan untuk menjadi pemberat kepada sekurang-kurangnya satu mayat yang dibuang ke kolam berkenaan.
Ini kerana pagar tersebut diikat dengan kabel elektrik tebal.
Meskipun pagar berkenaan mempunyai saiz yang sama dengan rumah suspek namun terdapat empat tempat lain di kawasan berkenaan yang mempunyai pagar yang hampir serupa.
Kes tersebut bermula Julai tahun lepas apabila Apichai dan Kik memfailkan satu aduan kepada pihak polis dan meminta mereka menjejaki suspek-suspek yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap Kik.
Bagaimanapun tidak lama selepas bertemu dengan pihak polis, keluarga Kik melaporkan kehilangan wanita itu.
Ketika cuba menjejaki Kik, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 50 tahun yang hanya dikenali sebagai Chalermchai yang memberikan klu paling penting mengenai kehilangan wanita tersebut. – Agensi