KUALA LUMPUR- Kehilangan akaun Instagram (IG) pelakon Puteri Balqis yang mempunyai kira-kira 500,000 pengikut telah mengundang tandatanya dalam kalangan para peminatnya hari ini.
Mungkinkah pelakon cilik itu menyahaktif akaunnya selepas dikecam teruk warga net kerana berhasrat untuk menggunakan sebahagian wang RM100,000 yang disumbangkan ahli perniagaan, Datuk Alif Syukri untuk dilaburkan dalam pasaran mata wang asing (forex) hanya kerana beliau meminati graf.
Malah dalam satu klip rakaman video yang tular di media-media sosial baru-baru ini, Puteri Balqis langsung tidak memaklumkan mengenai rawatan penyakitnya selepas mendapat wang itu nanti.
“Puteri mahu menyimpan duit tersebut, sedekah dan (melabur) forex kerana kami minat graf,” katanya ketika Alif bertanyakan bagaimana beliau akan membelanjakan duit sumbangan RM100,000 itu.
Jawapan Puteri Balqis itu telah mengundang kritikan netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan niat pelakon berusia 13 tahun itu untuk membelanjakan wang tersebut.
Kebanyakannya berpendapat, Puteri Balqis sepatutnya menggunakan wang sumbangan tersebut secara berhemah dan menumpukan kepada rawatan penyakitnya.
Malah ada yang mencadangkan Alif supaya tidak memberikan wang tersebut secara sekali gus sebaliknya menggunakannya dengan cara membayar bil rawatan pelakon tersebut.
Kisah Puteri Balqis kembali hangat diperkatakan selepas beberapa tahun beliau “hilang” daripada dunia lakonan apabila dilaporkan terpaksa hidup dalam kesusahan kerana hilang punca pendapatan.
Puteri Balqis kini terpaksa bergantung hidup dengan menjual buku puisinya dan dilaporkan pernah tidak menjamah makanan selama beberapa hari kerana kesempitan hidup.- MalaysiaGazette
Hati2 main foreign exchange, nanti tak pasai2 30 billiooonnn menjadi debuuuuuuuuuuuuuuu…