MAVCOM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan denda berjumlah RM2 juta terhadap AirAsia Bhd. (AirAsia) dan AirAsia X Bhd. (AirAsia X).

Dalam satu kenyataan hari ini, Mavcom berkata, kedua-dua syarikat penerbangan itu telah melanggar Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

“Denda sebanyak RM2 juta itu dikenakan setiap satunya kepada AirAsia dan AirAsia X kerana kedua-dua syarikat penerbangan itu terus mengenakan caj pemprosesan bagi pembayaran menggunakan kad kredit, kad debit dan pembayaran dalam talian yang berasingan dengan tambang asas mereka dari 10 Ogos sehingga 11 September 2019.

“Ini bertentangan dengan MACPC. Ini merupakan kali kedua AirAsia dan AirAsia X didapati tidak mematuhi syarat-syarat MACPC,” katanya.

Dalam pada itu, anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) iaitu Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang) dedenda RM856,875 kerana gagal memenuhi kualiti perkhidmatan standard seperti yang telah ditetapkan di bawah Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang pada suku kedua tahun lepas.

Menurut Mavcom, syarikat penerbangan tersebut dan MA Sepang telah dimaklumkan berhubung denda masing-masing pada Khamis lalu.- BERNAMA