KUALA LUMPUR – Pas Sarawak tidak ada masalah menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) sekiranya perlu untuk parti itu berbuat demikian bagi menangi kerusi sulung andai kata berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri tersebut.
Menurut Ketua Penerangannya, Zharudin Narudin, kelebihan Pas negeri itu adalah bebas dari mana-mana kerjasama.
“Kebetulan Muafakat Nasional (MN) berlaku di peringkat pusat, ia satu kelebihan yang tidak sepatutnya diabaikan untuk mengembalikan Sarawak yang sebelum ini kuat dengan sentimen undi lambang BN.
“Mengambil pengajaran parti Warisan Sabah yang sebelum ini dilihat bertaring, sudah kembali tidak dipercayai oleh rakyat, dan lebih malang mereka tidak lagi dominan di persekutuan untuk memastikan mereka kuat bersuara untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata Zharudin, kemenangan BN di Kimanis Sabtu lalu adalah sebahagian daripada petanda awal MN mula diterima di Borneo.
Fenomena itu, katanya, sebagai refleksi daripada kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengurus negara dan mengembalikan kepercayaan rakyat Sabah khususnya di Kimanis.
Kata beliau, ini perlu diterima oleh PH supaya mereka segera berundur dari tampuk pemerintahan negara.
“Kita melihat dengan usaha Pas Pusat menguatkan semula BN menerusi MN, maka perlu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menilai semula kedudukan mereka sebagai rakan pembangkang di peringkat nasional.
“Sungguhpun mereka yakin kedudukannnya di Sarawak tanpa menyertai mana-mana pihak sama ada pembangkang atau kerajaan dalam persekutuan, mereka sebenarnya tidak dapat berdiri sendiri di peringkat nasional.
“Secara teorinya, konsep persekutuan adalah persetujuan antara semua wilayah bagi memacu kemakmuran bersama,” ujarnya.
Kata Zharudin lagi, rakyat khususnya di Sarawak akan mula terpisah dari agenda nasional sekiranya ini berterusan.
Secara umumnya pula, sukar untuk GPS bersendirian tanpa rakan yang bersama menyokong agenda dibawa oleh mereka.
“Pas Sarawak juga konsisten dengan pendirian tidak akan memberi ruang untuk kemenangan PH di negeri ini dengan pelbagai usaha yang dilihat boleh dilakukan atas kapasiti rakan mesra kepada GPS.
“Namun, kita tidak akan memberi ruang sekalipun kepada GPS juga di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat berpotensi untuk Pas menang.
“Sebarang rundingan atau kerjasama bagi Pas Sarawak pula adalah bersifat terbuka pada bila-bila masa,” katanya.
Menurut beliau, GPS perlu sedar dengan undi Pas di beberapa DUN yang pernah ditandingi juga boleh menyumbang kepada kemenangan besar atau mungkin sebab kekalahan kepada parti gabungan itu.
Ini kerana sudah terbukti ahli dan penyokong Pas adalah setia walau apa jua arahan daripada parti, mereka akan ikut. – MalaysiaGazette