KUALA LUMPUR -Tan Mei Phing dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) berkuat kuasa 21 April 2025.
MyCEB dalam kenyataan berkata, pelantikan Mei Phing sangat signifikan memandangkan organisasi itu akan terus mengembangkan pengaruh dan impaknya di peringkat antarabangsa.
Beliau akan mengetuai hala tuju strategik, perancangan kewangan dan pelaksanaan operasi inisiatif-inisiatif MyCEB, seterusnya memastikan pertumbuhan berterusan biro tersebut serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk Acara Perniagaan.
Kepakarannya dalam bidang ini serta pengetahuan industri yang mendalam meletakkan beliau pada landasan terbaik untuk memimpin MyCEB ke fasa seterusnya.
“Sepanjang 13 tahun perkhidmatannya di MyCEB, Mei Phing telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang serta pemahaman mendalam terhadap landskap Acara Perniagaan.
“Sebelum pelantikan ini, beliau telah berjaya mengurus beberapa bahagian penting selaku Pemangku CEO, termasuk Fasilitasi Acara, Jualan, Pemasaran & Penjenamaan, Pembangunan Industri, Perhubungan Awam & Komunikasi, serta Perisikan Pasaran.
“Pandangan strategiknya dalam bidang-bidang ini telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan profil Malaysia sebagai hab utama bagi Acara dan Persidangan Perniagaan antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, kerjaya Mei Phing yang cemerlang dalam sektor Acara Perniagaan — yang turut dikenali sebagai industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) — merangkumi penglibatan penting dalam pelbagai persidangan antarabangsa utama yang dianjurkan di Malaysia.
Beliau memulakan kerjayanya di sebuah Syarikat Pengurusan Destinasi (DMC) antarabangsa, di mana beliau memperoleh pengalaman berharga dalam pengurusan acara.
Pengalaman itu terus diperkukuh melalui peranannya sebagai Penganjur Persidangan Profesional (PCO), yang membolehkannya mengasah kemahiran dalam membida serta mengurus acara berskala besar, sekali gus memantapkan reputasinya sebagai seorang profesional yang berpengalaman dalam bidang ini.
Sebagai CEO, Mei Phing akan terus memacu misi MyCEB untuk meletakkan Malaysia sebagai pilihan utama bagi Acara Perniagaan global, sambil memupuk kerjasama, inovasi dan kecemerlangan dalam industri.
Wawasan beliau terhadap masa depan MyCEB berteraskan komitmen untuk meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran global sambil menawarkan nilai luar biasa kepada para pemegang taruh. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















