KUALA LUMPUR – Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap keselamatan struktur sebuah blok di Pangsapuri Damai Perdana di Bandar Damai Perdana, Cheras susulan kejadian tanah runtuh malam tadi yang menyebabkan kira-kira 80 penduduk diarahkan berpindah.
Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 6 Tan Kah Hoe berkata siasatan itu dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta MPKj bagi menentukan sama ada bangunan berkenaan masih selamat diduduki.
“Buat sementara ini, JKR, MPKj dan JMG akan menjalankan siasatan terlebih dahulu. Setakat ini, kami belum menerima sebarang ulasan daripada pihak berkenaan.
“Kami akan membuat susulan dengan mereka bagi menentukan sama ada struktur bangunan ini masih selamat untuk diduduki,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata laporan teknikal daripada agensi terbabit dijangka diperoleh dalam masa terdekat manakala dakwaan mengenai kebocoran paip sebagai punca kejadian juga sedang disiasat oleh JMG.
Tan berkata sebanyak 45 unit di Blok D pangsapuri itu telah diarahkan dikosongkan sebagai langkah keselamatan manakala sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Desa Baiduri bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Beliau berkata MPKj menerima laporan kejadian pada 8 malam tadi sebelum melakukan tinjauan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong Ong Chun Wei.

Menurut Tan, sebagai langkah awal, MPKj telah menutup kawasan cerun yang terjejas menggunakan kanvas bagi mengelakkan pergerakan tanah berulang, selain mengesahkan lokasi runtuhan berada di bawah seliaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan.
“JMB pangsapuri itu yang beroperasi secara aktif kini sedang membuat semakan dengan syarikat insurans bagi menentukan sama ada insiden kegagalan cerun itu dilindungi di bawah polisi sedia ada.
“Bekalan air di seluruh kawasan pangsapuri terpaksa dihentikan buat masa ini namun lori tangki membawa bekalan air bersih akan disediakan bagi memenuhi keperluan penduduk pangsapuri yang terdiri daripada empat blok yang menempatkan keseluruhan 360 unit kediaman,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Shah Adhar, 48, berkata kejadian tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada kebocoran paip utama di kawasan cerun berhampiran Blok D yang menyebabkan air mengalir deras sebelum membawa bersama tanah, sekali gus mengakibatkan runtuhan pada tebing bukit.
“Sebelum ini, kawasan lereng bukit berdekatan Blok D ini tidak menunjukkan sebarang tanda akan berlakunya kejadian ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Syakir Nabil Azman, 32, berkata beliau bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya yang memaklumkan berlaku tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.
“Isteri saya telefon dan suruh saya balik cepat. Dia kata orang di bawah rumah menjerit meminta semua keluar kerana berlaku tanah runtuh,” katanya yang akan menumpang sementara di rumah ibu mentuanya di Taman Tun Perak di sini.
Media semalam melaporkan penghuni sebuah blok pangsapuri di Bandar Damai Perdana, Cheras didiarah mengosongkan kediaman mereka malam tadi susulan insiden tanah runtuh berhampiran kediaman itu, dipercayai berpunca daripada kebocoran air bawah tanah.
— BERNAMA
















