KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dinasihatkan agar menumpukan perhatiannya kepada jawapan surat tunjuk sebab berhubung ucapannya di sebuah hotel pada awal bulan lalu yang menghina Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu tidak perlu prasangka terhadap arahan itu.
“Saya syorkan pada beliau untuk tumpu jawab butiran pertuduhan yang telah dihantar kepada beliau oleh Lembaga Displin.
“Semoleknya tak payah ada prasangaka lain. Langkah paling wajar, bila nanti ditetapkan masanya, beliau tambil beri penjelasan, biar proses itu mengambil tempat.
“Tak payah rasa ada pengaruh sana, ada pengaruh sini, fokus pada pertuduhan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020, di NSK Trade Center, hari ini.
Saifuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Zuraida yang berkata akan menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya dari Lembaga Disiplin parti itu, 15 Januari lalu.
Semalam, Zuraida berkata beliau tidak dapat mendedahkan apakah isu-isu yang dibangkitkan dan memberi bayangan ia ada kaitan dengan ucapan berapi yang dibuatnya pada majlis makan malam di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tahun lalu.
Mengulas lanjut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, segala jawapan yang akan dikemukakan oleh Zuraida akan dinilai Lembaga Disiplin yang mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas beliau.
“Kalau penjelasan dianggap munasabah, ia akan dinilai Jawatankuasa Displin, dan mereka akan angkat syor pada MPP, dan MPP akan muktamadkan keputusannya.
“Zuraida diberi masa untuk jawab segala pertuduhan. Saya syorkan beliau tenang dalam menghadapi keadaan ini,” katanya lagi.
Sabtu lalu, PKR menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, Zuraida diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan penjelasan mengenai tuduhan terhadap beliau.
Semasa berucap dalam majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama pada 8 Disember tahun lalu, Zuraida mendakwa Anwar cuba meyakinkannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah betul.
Zuraida turut berkata, Anwar juga cuka meyakinkannya dengan mendakwa Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah meminta presiden PKR itu memecat Azmin. – MalaysiaGazette