Ahmad Syukri Che Ab Razab
Ahmad Syukri Che Ab Razab.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menegur secara terbuka Pengerusi Pakatan Harapan (PH) agar bersikap rendah diri dan mengakui kegagalan pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.

Menurut Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri itu juga tidak seharusnya menuding jari atas kelemahan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“Sewajar Tun Dr Mahathir mengakui bahawa kekalahan demi kekalahan yang dialami PH dalam beberapa siri PRK adalah manifestasi kelemahan jentera kerajaan.

“Oleh itu tak perlu Tun Mahathir cuba melepaskan diri dengan menuding jari kepada orang lain. Apa juga yang berlaku terhadap hal ehwal dalaman PH sebenarnya tidaklah begitu penting untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Syukri berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Mahathir bahawa parti pemerintah boleh menjadi kerajaan sepenggal jika tidak berubah, semalam.

Mahathir berkata PH sudah kalah lima dalam PRK dan pemimpin PH masih tidak faham.

Beliau berkata demikian kepada Reuters, di Langkawi.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata, apa pun justifikasi yang ingin disampaikan Mahathir, sokongan rakyat pasti tidak akan berbelah bahagi sekiranya PH benar-benar melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan sebelum ini.

“Lupakah Tun Mahathir bahawa beliaulah yang mula-mula mengatakan bahawa manifesto Pilihan Raya itu bukan kitab suci. Maka tidak hairan jika prestasi kerajaan hari ini tidak bertepatan dengan kehendak sebenar yang rakyat idam-idamkan.

“Jika benar ada menteri yang gagal, lalu apa yang menghalang Tun Mahathir untuk merombak kabinet?” soal beliau.

Justeru itu, Mahathir perlu mengambil langkah wajar dengan meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya percaya Perdana Menteri cukup sedar yang prestasi Kerajaan di bawah pimpinan beliau jauh terkebelakang berbanding harapan sebenar rakyat. Justeru atas dasar tanggungjawab, wajarlah Tun Mahathir sendiri sebagai Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast