Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar (tiga kanan) menunjukkan kotak-kotak undi jawatankuasa pemilihan parti pada sidang media khas di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Kebanyakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) miskin dan tiada keupayaan kewangan untuk menaja mana-mana ahlinya untuk membeli undi dalam pemilihan parti itu, Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar menegaskan, ia bersesuaian dengan matlamat penubuhan Bersatu berbanding UMNO.

“Masa pemilihan tak boleh bayar untuk pergi umrah, bercuti, melancong atau pergi ke Bangkok, Manila, Medan atau tempat popular.

“Main golf pun tak boleh, tak boleh ada pemberian hadiah, tak boleh terima cenderahati, atau cenderabudi

“Ada ahli kita kaya, ada ahli kita tak kaya, tapi yang saya tahu kebanyakan miskin, kita nak buat mesyuarat pun (susah),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, JPP Bersatu tidak memerlukan khidmat dan bantuan syarikat audit luar untuk memantau perjalanan pemilihan dan perhimpunan agung tahunan Bersatu.

“Kalau pakai audit luar, (bermakna) tak percaya kepada sistem demokrasi. Malah dalam PRU14 lalu kita pun tak ada audit.

“Lepas pilihan raya baru boleh buat aduan dan bawa ke mahkamah, mereka tak boleh bawa kes itu ke mahkamah,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya ada pelanggaran undang-undang semasa pemilihan parti, kes itu perlu dibawa kepada pihak JPP sebelum dinilai Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan lanjut.

“Kalau ada unsur jenayah, badan penguatkuasa boleh ambil apa juga tindakan yang patut.

“Kita nak pastikan kita ikut undang-undang, etika dan pastikan nama parti tidak rosak tercalar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette