HULU SELANGOR – Tahun Baru Cina merupakan perayaan paling penting bagi masyarakat Cina di seluruh dunia yang diraikan selama 15 hari mengikut kalendar lunar.
Berdasarkan kepercayaan masyarakat tersebut, hari pertama tahun baru menjadi lambang titik permulaan nasib baharu dalam kehidupan mereka.
Maka menjelang perayaan Tahun Baru Cina, pekerja di kilang membuat peralatan sembahyang ‘Tian Gong Zou’ dilihat tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan tempahan yang tinggi daripada pelanggan.
Kilang yang terletak di Kalumpang itu sudah beroperasi sejak 20 tahun yang lalu dan ia merupakan perniagaan yang diwarisi oleh Lim Mei Teng, 34, dari bapanya.
Jelas Mei Teng, Tian Gong Zou merupakan peralatan sembahyang yang diperbuat daripada kertas keras dan diletakkan di rumah dipercayai untuk menolak nasib yang tidak baik.
Katanya, peralatan tersebut dijual dengan harga antara RM18 hingga RM120 berdasarkan saiz dan bentuk.
“Kami mampu menyiapkan kira-kira 20 buah Tian Gong Zou dalam masa sehari sebelum ia dibungkus rapi di dalam plastik untuk dihantar kepada pelanggan.
“Menjelang perayaan Tahun Baru Cina, tempahan daripada para pelanggan turut meningkat berbanding hari-hari biasa,” katanya.