Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas adalah pengakuan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun 2019 adalah jauh di bawah jangkaan.

Malah, ia juga merupakan petunjuk bahawa ekonomi tahun 2020 ini adalah lebih mencabar daripada yang dijangkakan.

Ini bermakna ramalan kerajaan bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2019 tidak dapat dicapai, dakwa Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, Bank Pusat menurunkan OPR kerana mahu menggalakkan pengguna tempatan dan perniagaan meminjam daripada bank untuk berbelanja dan melabur.

Ia kerana daya membeli rakyat sedang menurun manakala perniagaan tempatan tidak berani meminjam untuk melabur memandangkan ekonomi Malaysia semakin merosot selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dakwanya, penurunan OPR itu akan memberi manfaat besar kepada kerajaan kerana ia akan menurunkan perbelanjaan kerajaan untuk kos perkhidmatan hutang sedia ada dan mengalakkan kerajaan meminjam dan menambah kepada hutang negara dengan lebih banyak lagi.

Tetapi, jelasnya, penurunan OPR itu bukan berita baik kepada para pelabur, pesara dan pendeposit yang memiliki simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad dan sebagainya.

Bahagian paling besar aset tabung-tabung ini adalah simpanan dalam bon/sukuk kerajaan serta simpanan tetap bank.

Jika kos faedah yang dibayar turun, maka pendapatan tabung-tabung ini juga akan turun.

Memandangkan harga saham belum memulih dan pendapatan dari bon/sukuk kerajaan turun, maka dividen tahunan untuk tabung-tabung ini juga akan terjejas, ujar Najib.

Pesara yang bergantung kepada simpanan tetap bank turut terkesan apabila bayaran faedah yang mereka terima rendah.

Tambah beliau, penurunan kadar faedah bank biasanya akan melemahkan matawang negara kerana ianya menjadikan pelaburan asing dalam bon/sukuk tempatan kurang menarik apabila pulangan daripada faedah menurun. – MalaysiaGazette