Gambar hiasan

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan koronavirus yang telah membunuh 18 orang mangsa di China dan menjangkiti kira-kira 650 orang di seluruh dunia adalah satu ‘kecemasan di China’.

Televisyen China berkata, setakat ini sebanyak 634 kes telah disahkan dijangkiti virus tersebut.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengesahkan, terdapat 17 kematian akibat virus di Hubei, pusat wabak itu dan kematian pertama di luar Hubei.

Kes yang tidak membabitkan maut telah dikesan sekurang-kurangnya tujuh negara lain.

Kadar transmisi dikhuatiri meningkat berikutan jutaan rakyat China akan melakukan perjalanan ke kampung dan luar negara sempena Tahun Baru Cina yang bermula Sabtu ini.

Walau bagaimanapun, ia adalah “terlalu awal” untuk mempertimbangkan wabak itu sebagai “Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa,” kata Ketua Panel Kecemasan WHO, Didier Houssin selepas badan itu bertemu di Geneva.

“Jangan salah, ini adalah kecemasan di China. Ia belum menjadi kecemasan kesihatan global. Ia mungkin berlaku,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Untuk membendung wabak itu, kerajaan tempatan di Wuhan, sebuah bandar raya 11 juta penduduk di wilayah Hubei, telah menggantung operasi pengangkutan termasuk penerbangan.

Beberapa jam kemudian, Huanggang, sebuah bandar yang berjumlah kira-kira 7 juta orang turut mengumumkan langkah yang sama.

“Pengasingan 11 juta orang tidak pernah berlaku dalam sejarah kesihatan awam,” kata Gauden Galea, wakil WHO di Beijing.

Walau bagaimanapun, organisasi itu menyatakan bahawa ia masih belum bercadang untuk mewujudkan apa-apa sekatan yang lebih luas ke atas perjalanan atau perdagangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast