Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kelewatan pelaksanaan mekanisme subsidi minyak bersasar adalah disebabkan sistem untuk golongan M40 belum dilengkapkan secara sempurna, malahan pendaftaran untuknya belum bermula.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, mekanisme subsidi itu bertujuan mengelakkan penyeludupan dan memastikan subsidi tidak dinikmati orang asing dan golongan T20.

Beliau berkata, walaupun mekanisme baharu itu belum dilaksanakan, tetapi kerajaan masih menyediakan subsidi bernilai kira-kira RM80 juta seminggu kepada semua rakyat.

“Subsidi masa ini dinikmati seluruh Malaysia dan bukannya subsidi bersasar.

“Kerajaan mahu mensasarkan subsidi kepada golongan B40 dan M40,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Menurutnya, subsidi bersasar perlu dilaksanakan kerana kajian mendapati pembelian bahan api oleh golongan T20 adalah 30 peratus daripada jumlah pembelian RON95 negara ini.

Ditanya tarikh pelaksanaan sistem harga terapung, Chieng Jen berkata, kerajaan menundakan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar kerana mahu memastikan golongan M40 yang menerima kesan daripada sistem terapung turut menerima manfaat subsidi.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memperluaskan rancangan Bank Makanan kepada institusi pengajian tinggi swasta dan maktab perguruan pada tahun ini.

Katanya, sebanyak 21 buah universiti awam telah mewujudkan Bank Makanan untuk mengatasi masalah kelaparan dalam kalangan siswa dan siswi. – MalaysiaGazette