KUALA LUMPUR – Saksi kedua perbicaraan rasuah pasangan suami isteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan isterinya Datin Seri Zizie Ezette Abd Samad mengesahkan tentang permohonan dana sebanyak RM150 juta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA).
Menurut bekas Pengurus Pelaburan Khas, Adnan Yusof, pinjaman itu juga telah dipohon daripada tabung persaraan staf Felcra bagi tujuan pelaburan ke dalam Unit Amanah Public Mutual.
Namun kata Adnan yang sudah berkhidmat dengan Felcra sejak tahun 1979 sehingga berjawatan pengurus pelaburan dan berhenti pada Februari tahun lepas dalam catatannya tidak menunjukan sebarang penglibatan oleh Lembaga Felcra dengan permohonan tersebut.
Sebaliknya beliau hanya mengesahkan perkara itu melalui memorandum Kementerian Kewangan di mana Felcra ada membuat permohonan menggunakan dana tabung persaraan staf bagi pelaburan Public Mutual.
Adnan berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas perbicaraan masuk hari ke-3 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Rozina Ayob hari ini.
Rozina juga sepanjang perbicaraan turut membantu Adnan untuk memahami soalan-soalan yang dikemukakan oleh pendakwaan dan peguambela sebelum di jawab.
Ada ketikanya, Adnan mengambil sedikit masa sebelum menjawab soalan-soalan yang juga kelihatan di ulang oleh pasukan peguambela.
Bung Moktar dan Zizie Ezette yang masing-masing didakwa atas pertuduhan rasuah dan bersubahat rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung pelaburan FELCRA.
Sebelum ini, Bung Mokhtar dan Zizie Izette membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pindaan yang dihadapi mereka.
Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Bung Moktar boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ketika di soal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor, Adnan menjelaskan tidak ada sebarang catatan yang menunjukan Lembaga Pengara Felcra telah membuat apa-apa tindakan berhubung dana itu.
Roslan: Ada atau tidak apa-apa catatan yang menunjukan Lembaga Pengarah Felcra terlibat dalam sebarang keputusan atau tindakan berkait dengan pelaburan RM150 juta untuk Public Mutual?
Adnan: Tidak ada dinyatakan apa-apa dalam permohonan MOF.
Perbicaraan ditangguhkan ke tarikh seterusnya pada 29 Januari hadapan jam 9 pagi dengan berkemungkinan saksi yang sama akan diperiksa balas lagi. –MalaysiaGazette