Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Tiga kes positif koronavirus dikesan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefley Ahmad berkata, ketiga-tiga kes positif itu disahkan dalam kalangan lapan individu China yang dikuarantin di sebuah hotel di Johor Bahru.

Tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama di Singapura.

Mereka terlibat merupakan keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura yang melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China.

“Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Kesemua mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi koronavirus.

Mereka dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020 dan kes tersebut bersama anak lelakinya didapati dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020.

Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh KKS, katanya.

“Seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua orang cucu dan satu lagi keluarga berempat (terdiri dari sepasang suami isteri dan dua anak mereka) yang merupakan kawan baik keluarga kes,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima pemakluman mengenai keputusan ujian positif yang diperoleh untuk kes pertama dari KKS yang turut memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia.

Melalui perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan dari MKAK Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Menurut Dzulkefly, mengambilkira perkembangan terkini, pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di lapangan telah diaktifkan serta merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

“Semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

“Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya,” katanya lagi.

Menurutny, kejadian wabak jangkitan itu dipandang serius oleh KKM dan suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

Tatacara itu akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti virus yang dikenali 2019-nCoV.

Selain dari tiga kes positif, secara keseluruhannya pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk sembilan kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan kesemuanya disahkan negatif melalui ujian makmal yang dijalankan. – MalaysiaGazette