Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang masih membuka pintu kepada pelancong China ketika satu dunia bimbang dengan penyebaran wabak koronavirus amat dikesali.

Negara jiran sudah pun menghalang pelancong China memasuki negara mereka tetapi Malaysia mengambil tindakan sebaliknya.

Korea Utara, Rusia, malah Beijing sendiri telah menyekat kemasukan pelancong China dari bandar-bandar dan wilayah lain bagi menangani penularan wabak ini, menunjukkan betapa pantasnya tindakan yang diambil demi nyawa rakyat mereka dan ini seharusnya dicontohi oleh Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan seharunya mengambil tindakan drastik bagi menghalang penyebaran wabak ini menjadi lebih teruk.

Tegas beliau, kerajaan tidak boleh memandang ringan perkara ini, seolah-olah tidak mengambil berat langsung berkaitan nyawa rakyat Malaysia.

“Walaupun kerajaan menegaskan telah mengambil langkah berjaga-jaga namun ia terbukti tidak memadai kerana tiga pelancong China positif koronavirus yang menaiki bas dari Singapura menuju ke Johor telah melepasi semua saringan.

“Janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Jika ini terjadi ia sudah tidak berguna lagi.

“Adakah kerajaan hanya mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat negara ini,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar menarik balik pengecualian visa kepada pelancong China dan seterusnya menghalang mereka untuk memasuki negara.

“Cegah sebelum parah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.