Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) diminta tampil menjelaskan spekulasi tentang kenaikan tambang dan pengurangan subsidi mengerjakan haji bagi meredakan keresahan rakyat.

Ini kerana, berdasarkan sumber-sumber dalaman Tabung Haji, organisasi itu sepatutnya mengumumkan kadar caj baru haji yang berbeza-beza berdasarkan jemaah rayuan dan kali pertama pada Jumaat lalu.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki mendedahkan Tabung Haji telah memanggil mufti-mufti untuk menerangkan rasional mengapa caj haji dinaikkan dan subsidi dikurangkan.

Beliau mendakwa perkara itu didedahkan oleh seorang mufti yang hadir dalam majlis yang dianjurkan TH baru-baru ini.

Namun, Asyraf bersyukur  kesemua mufti dengan tegas membuat pendirian tidak mahu dijadikan alat untuk memperakui agenda pengurangan subsidi dan kenaikan caj haji.

“Alhamdulillah, Syabas dan Terima Kasih kepada Ashabus Samahah Mufti-mufti yang tegas membuat pendirian untuk tidak mahu dijadikan alat oleh pihak YB Dr Mujahid Yusof Rawa dan pengurusan Tabung Haji bagi memperakui AGENDA MENGURANGKAN SUBSIDI JEMAAH HAJI DAN MENAIKKAN CAJ HAJI tahun ini.

“Maklumat yang diperolehi daripada salah seorang Mufti yang hadir, mereka dipanggil oleh Tabung Haji untuk menerangkan rasional kenapa CAJ HAJI harus dinaikkan dan SUBSIDI HAJI hendak dikurangkan,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Lantaran itu, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff supaya kembali menghayati falsafah dan matlamat penubuhan Tabung Haji, yang antara lainnya untuk membantu menyempurnakan keperluan jemaah menunaikan ibadah rukun kelima.

Ia termasuklah mengurangkan beban tanggungan mereka untuk menunaikan haji.

“Usahlah sewenang-wenangnya nak menggunakan isu istito’ah (kemampuan) bagi menghalalkan pengurangan subsidi haji,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, semasa kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional pernah tiga kali Tabung Haji memohon untuk menaikkan caj tetapi tidak pernah dipersetujui oleh Datuk Seri Najib Razak.

Malah, tegasnya, tidak pernah mufti-mufti dipanggil untuk ‘endorse’ atau iktiraf agenda pengurusan untuk menaikkan kos atau caj haji. – MalaysiaGazette