Nur Atikah Adanan

KUALA LUMPUR – Seorang bapa merayu kepada Kerajaan Malaysia untuk membawa balik anaknya, Nurul Atiqah Adanan yang kini menuntut di Universiti Shandong, China.

Adanan Long berkata, anaknya kini terkandas di Jinan, Shandong selepas usahanya untuk mencari penerbangan keluar dari wilayah itu menjadi buntu.

Ia susulan tindakan beberapa syarikat penerbangan yang menyekat pelancong dari negara China susulan penularan koronavirus yang semakin mengganas.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Adanan, 53, berkata, beliau dan keluarganya semakin buntu apabila anak sulungnya itu memaklumkan pergerakannya semakin terhad disebabkan sekatan perjalanan oleh kerajan negara itu.

“Saya tiada daya untuk mencari jalan bagi membawa Atikah balik, saya hanya mampu berdoa di sini agar Allah terus melindungi anak saya di sana.

“Risaunya dan sedihnya saya mengenang nasib anak di sana hanya Allah yang tahu. Sayu hati saya kerana tak mampu nak buat apa-apa bantu dia balik ke Malaysia,” kata Adanan sambil menangis.

Menurutnya lagi, Atiqah, 26, yang merupakan penuntut tahun dua Sarjana Pengajian China sudah membeli tiket penerbangan untuk transit ke Bangkok tetapi Thailand tidak menerima penumpang dari China.

Katanya, Atiqah memaklumkan untuk bergerak ke Beijing pada masa ini adalah berisiko, tetapi untuk terus tinggal di Jinan ketika ini juga rasa terancam.

Ini kerana, di Jinan juga kes kematian akibat koronavirus meningkat kepada 12 kes.

Atikah, bekas graduan Universiti Sains Malaysia adalah penerima biasiswa daripada Kerajaan China.

Jadi, kata pekerja swasta itu, anaknya masih mencari-cari penerbangan yang masih menerima penumpang dari China tetapi dalam keadaan sekarang ia begitu sukar.

Berikutan peningkatan kes koronavisrus di Shandong, situasi di sana hampir seperti ‘bandar Zombie’ apabila kebanyakan kawasan tumpuan menjadi lengang.

“Ini lagi merisaukan saya,” tambah Adanan yang tidak putus-putus mencari jalan agar anaknya dapat keluar dari China.

Adanan memberitahu, anaknya memang merancang untuk pulang ke Malaysia tetapi perlu menyiapkan kertas bagi pembentangan di Bangkok pada Februari ini untuk mewakili negara kerana tidak menyangka penularan koronavirus begitu pantas.

Setakat ini virus berkenaan telah mengorbankan 82 nyawa di China.

Difahamkan hanya dua penuntut Malaysia di universiti itu tetapi seorang lagi telah pulang ke tanahair.

Tambah bapa kepada enam orang anak itu, meskipun Kedutaan di China sentiasa menghubungi para penuntut Malaysia untuk mengetahui perkembangan beliau meminta kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya agar para pelajar negara ini dapat dibawa pulang segera.

Lagipun kebanyakan universiti di China sudah memberi cuti sehingga notis dikeluarkan kemudian.

“Saya tidak minta apa-apa kepada kerajaan tapi tolonglah bawa balik anak saya, itu saja. Susah hati saya selagi anak tidak berada di depan mata.

“Bukan saya sahaja rasa begini, rasanya semua keluarga yang anak mereka di sana juga susah hati seperti saya,” katanya yang berkali-kali meminta MalaysiaGazette menyampaikan harapan besarnya kepada kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Serius dan amat kritikal keadaan disana… dikatakan 5 juta telah meninggalkan Wuhan dan ini amat menyeramkan!!!!

    5 juta rakyatnya mungkin pembawa virus pembunuh dan menjadi agen penyebar diseluroh China dan dunia!

Comments are closed.