Mungkin mereka perlu lebih ikhlas dalam ucapan dan tindakan yang diambil.
Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sebelum 2018 banyak ahli politik yang berkempen di bawah tiket PH mencemuh para pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana berdiam diri ketika berhadapan dengan kesalahan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak.
“Saya melihat tabiat yang sama diamalkan di Putrajaya hari ini,” katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, negara tidak akan berubah jika pengkritik melakukan perkara yang sama dengan orang yang dikritiknya.
Menurut Zaid, jika PH mahu melaksanakan perubahan dan mengotakan janji pilihan rayanya, mereka hanya perlu berpegang kepada prinsip keikhlasan.
Tambah beliau, tanpa keikhlasan tiada apa yang boleh dilakukan dan pemimpin akan memberikan pelbagai alasan dan keadaan mereka akan kelihatan menyedihkan.
Zaid yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jika PH ikhlas dengan janjinya, banyak perkara yang boleh dilakukan walaupun tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.
Katanya, PH tidak memerlukan majoriti dua pertiga untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), memansuhkan Akta Hasutan, meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA), menghapuskan tol serta menghapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Menurut Zaid, ada individu berasa hairan mengapa ramai orang masih mencium tangan najib, namun bukan dirinya.
“Saya tidak (hairan). Orang mengingati Najib sebagai seorang pemimpin yang pemurah.
“Anda mungkin berkata dia pemurah dengan duit yang dicuri, tetapi penyokongnya sanggup menunggu hingga mahkamah membuat keputusan,” tambah beliau.
Tambah beliau, PH juga perlu bersabar dan tidak menggelar Najib dengan pelbagai nama atau memainkan rakaman audio rahsia ketika perbicaraan masih lagi berjalan.
“Kita perlu mempamerkan ‘kelas’ dalam menghadapi politik lawan,” ujarnya.
Tambah beliau, masyarakat tidak suka sikap tidak peduli terhadap hak Najib dan penyokongnya.
Malah, katanya, PH perlu menunjukkan rasa hormat terhadap Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk SeriĀ Ahmad Maslan yang telah didakwa kerana pengubahan wang haram.
Ini kerana, katanya, kedua-duanya adalah Ahli Parlimen dan telah berkhidmat dengan Kabinet untuk tempoh yang lama.
“Setahu saya, kedua-duanya mempunyai karakter yang baik. Mendakwa mereka kerana sesuatu yang lain, contohnya menerima hartanah yang dicuri, jika mereka melakukan kesalahan jenayah tetapi untuk menggelar mereka ‘membersihkan wang’ adalah mengetepikan hak dan tidak wajar,” katanya.
Pada 21 Januari lalu, Ahmad didakwa atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.
Pada hari yang sama, Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013.
Kata Zaid, penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram mungkin lebih mudah untuk mensabitkan mereka dengan kesalahan tetapi ia adalah penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, ini bukannya pendirian PH yang dijanjikan oleh sebuah kerajaan yang baik yang tidak akan menyalahgunakan kuasa.
Menurut Zaid, jika PH ikhlas, gabungan parti poltik itu tidak akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk mendakwa wakil rakyat DAP kerana menyokong sebuah kumpulan pengganas asing yang telah berkubur.
Malah, katanya, ketika aktif, LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) tidak pernah memberi ancaman kepada negara ini.
“Jika lelaki DAP ini secara aktif cuba menghidupkan semula LTTE, dan kami mempunyai bukti mengenainya, terdapat peruntukan yang mencukupi dalam Kanun Keseksaan untuk mendakwa mereka,”.
“Mengapa menggunakan SOSMA apabila kita berkempen untuk memansuhkan penahanan yang dicegah?” soalnya.
Menurut Zaid, apabila seseorang tidak ikhlas, mereka boleh berjanji apa sahaja tetapi hanya dapat melakukan sedikit sahaja. – MalaysiaGazette
Kuda tunggangan DAP.