Liga Super China ditangguh ekoran coronavirus yang melanda negara tersebut.

BEIJING – China menangguhkan pembukaan musim bola sepak domestik kali ini disebabkan penularan koronavirus yang setakat ini telah meragut 170 nyawa.

Liga Super China yang sepatutnya membuka tirai 22 Februari musim ini kini ditangguhkan buat sementara waktu.

Tarikh baharu permulaan Liga Super China belum dimuktamadkan oleh Persatuan Bola Sepak China disebabkan situasi semasa virus korona.

Aktiviti sukan lain juga terjejas akibat krisis kesihatan yang telah melanda negara tersebut.

Dalam pada itu, Perlumbaan skii Piala Dunia di China yang dijadualkan berlangsung antara 15 dan 16 Februari depan di Yanqing juga dibatalkan.

Kejohanan Olahraga Dunia Tertutup 2020 yang sepatutnya diadakan 13-15 Mac ini di Nanjing juga ditangguhkan selama 12 bulan selepas Kesatuan Olahraga Sedunia menerima nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sukan terunggul Formula 1 juga sedang memantau kesan koronavirus di China dalam konteks Grand Prix Shanghai yang dijadualkan bermula 17 hingga 19 April ini.

Persatuan Bola Sepak China (CFA) dalam kenyataan berkata langkah menangguhkan aktiviti bola sepak di semua peringkat musim 2020 dilaksanakan bagi membantu menangani dan mengawal jangkitan epidemik koronavirus di negara tersebut.

Ia juga langkah awal melindungi penyokong, media, pemain, jurulatih, penganjur perlawanan dan juga kelab bola sepak.

Di Australia, pasukan bola sepak wanita China telah dipaksa dikuarantin di hotel Brisbane, Queensland selepas merekodkan kes pertama Coronavirus.

Lelaki berusia 44 tahun dari Wuhan, dikuarantin dan dirawat di Hospital Universiti Gold Coast, di Selatan Brisbane.

Lembaga Kesihatan China mengesahkan setakat ini, 7,711 kes coronavirus disahkan sehingga 29 Januari ini dan jangkitan juga tular ke 16 lagi negara serantau.-MalaysiaGazette