PUTRAJAYA – Syarikat-syarikat korporat dan pelabur-pelabur yang berkeupayaan digesa supaya berhijrah dan melihat akan peluang-peluang baharu atau yang sedia ada di luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, usaha itu bagi membantu membangunkan modal insan luar bandar yang produktif dan berkeupayaan ekonomi tanpa perlu mereka berhijrah ke bandar-bandar besar.
Jelas beliau, ini kerana hasrat dan usaha-usaha itu tidak dapat dilakukan oleh pihak kementerian secara sendirian.
“Di Malaysia, terdapat lebih daripada 15,000 buah kampung dan sudah tentu dengan dengan jumlah yang banyak ini, kementerian memerlukan sokongan semua pemegang taruh termasuk badan-badan korporat, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.
“Semua pihak akan bersatu menggembleng tenaga dan idea merealisasikan visi Luar Bandar Sejahtera dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Rakan Strategik KPLB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Rina menambah, kawasan luar bandar tidak hanya mengenai pembangunan infrastruktur semata-mata sebaliknya pembangunan modal insan dan juga pengisian perlu menjadi keutamaan untuk mencapai pembangunan luar bandar yang lestari.
Jelas beliau, antara golongan sasaran sedia ada adalah golongan belia yang sudah tamat persekolahan tetapi menghadapi kesukaran dalam transisi dari alam persekolahan ke alam pekerjaan.
“Pasaran modal insan yang sedia ada ini akan dapat menampung kekurangan di dalam pelbagai sektor pekerjaan sekiranya mereka diberi sokongan dan berada di dalam suatu program yang lebih khusus berdasarkan keperluan ekonomi semasa.
“Sekali lagi saya ingin menekankan bahwa pendidikan adalah segalanya. Dengan adanya didikan yang mendalam dan sempurna, ia seperti senjata yang akan mempersiap diri anak muda dalam mengharungi cabaran yang mungkin tiba di masa depan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette