Mahmoud Abbas. foto Agensi

KAHERAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas hari ini mengancam untuk memutuskan hubungan keselamatan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat Liga Arab dengan mengecam rancangan White House bagiĀ  menamatkan konflik Israel-Palestin.

Rancangan AS itu akan menyaksikan had dikenakan kepada Palestin di Tebing Barat yang diceroboh, manakala Israel dibenarkan memperluaskan semua penempatannya di situ dan mengekalkan hampir keseluruhan Jerusalem timur.

Palestin yang marah dengan cadangan AS itu telah meminta Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar Arab diadakan di Kaherah, lapor France 24.

Abbas berkata, beliau telah memberitahu Israel dan AS bahawa ‘tidak akan ada hubungan dengan mereka, termasuk hubungan keselamatan’ berikutan perjanjian yang berat sebelah kepada Israel.

Para pegawai Israel dan AS tidak mengulas mengenai perkara itu.

Pemimpin Palestin itu berkata, beliau enggan menjawab pangilan telefon dan mesej Presiden AS, Donald Trump ‘kerana saya tahu bahawa dia akan menggunakannya untuk menyatakan dia telah berunding dengan kami’.

“Saya tidak sesekali menerima penyelesaian ini.

“Saya tidak mahu ia direkodkan dalam sejarah saya bahawa saya telah menjual Jerusalem,” kata Abbas.

Beliau berkata, Palestin kekal komited untuk menamatkan pencerobohan Israel dan mewujudkan sebuah negara dengan ibu negaranya di Jerusalem timur.

Abbas berkata, Palestin tidak akan menerima AS sebagai hanya ‘orang tengah’ dalam sebarang rundingan dengan Israel.

Beliau berkata, mereka akan membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, negara lain dan pertubuhan serantau untuk ‘menerangkan kedudukan kami’. – Agensi