KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menafikan berhadapan dengan cabaran mendapatkan penyertaan orang awam dalam perlaksanaan setiap program di lapangan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Bagaimanapun, beliau berkata, masalah tersebut dapat ditangani menerusi pentadbiran dan hala tuju kerajaan yang jelas dan tersusun sekaligus memberikan ruang yang luas kepada rakyat khususnya warga Wilayah Persekutuan untuk memupuk nilai rasa sayang terhadap Wilayah Persekutuan.
Katanya, penganjuran sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 dengan pengisian sebanyak 29 lagi acara dan program untuk warga Wilayah Persekutuan sama ada di Kuala Putrajaya dan Labuan sepanjang Februari ini bertujuan menyemarakkan semangat sayangkan negara.
“Justeru penganjuran ini akan terus memberi penekanan kepada pengisian program yang mempunyai elemen perpaduan dan kesejahteraan yang dapat menyemarakkan semangat, kasih sayang serta sokongan rakyat Wilayah Persekutuan terhadap segala inisiatif yang disusun dan dilaksanakan kerajaan.
“Inisiatif Wilayah Peduli yang telah dilaksanakan juga telah membuktikan komitmen dan kesungguhan kementerian dan agensi dalam membantu golongan B40 yang memberi penekanan kepada aspek pembangunan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Konsert Sayangi Wilayahku Festival Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka malam ini.
Perbarisan anggota penguatkuasa DBKL, Putrajaya dan Labuan yang membawa bendera Wilayah Persekutuan menarik perhatian para pengunjung yang berkumpul di padang Dataran malam tadi.
Konsert malam ini dimeriahkan oleh Orkestra Kuala Lumpur menggabungkan alat muzik tradisional Melayu, Cina, India dan Kadazan dengan kebanjiran para pengunjung termasuk dari luar negara.
Antara artis yang membuat persembahan Aizat Hamdan, Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring Kumpulan Ruffedge, Alleycats, Naqiu Boboi.
Dalam ucapannya ituu, Khalid juga memberitahu, kementerian bersama DBKL sedang mempersiapkan Van Medik untuk memberikan rawatan percuma kepada warga Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun beliau dalam ucapannya tidak memperincikan lebih lanjut mengenai pelan pelaksanaan Van Medik itu.
Beliau juga menyentuh mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020 penganugerahan Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), dan bakal menerima tetamu sempena sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
“Bagi memastikan segala program berkenaan mencapai matlamatnya, DBKL diminta berbelanja lebih sedikit tahun ini untuk mengindahkan dan membersihkan bandar raya kita di samping menyediakan peluang pekerjaan untuk warga Wilayah
“Selepas melalui fasa pengindahan lengkap nanti adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warga kota mengekalkan keindahan dan kebersihan itu sebagai membuktikan kepada dunia bahawa kita warga penyayang yang mengutamakan kebersihan,” katanya. – MalaysiaGazette