Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian (tengah) bergambar bersama mangsa penipuan pada sidang media mengenai penipuan yang melibatkan profesional undang-undang di Pusat Khidmat Dun Kajang, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2020.

KAJANG – Seramai 30 penduduk Pangsapuri Taman Restu di sini mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang menawar khidmat guaman.

Mereka mendakwa wanita yang dikenali sebagai Eveny Wong itu menawarkan perkhidmatan melaksanakan pemindahan hak milik strata daripada pelikuidasi kepada pemilik unit kediaman.

Rata-rata mereka yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan warga emas mendakwa mengalami kerugian antara RM1,800 hingga RM3,800 setiap seorang gara-gara berurusan dengan Eveny.

Perkara itu berlaku selepas kesemua mereka memberi kepercayaan terhadap Eveny yang sebelum ini pernah menyelesaikan urusan berkenaan terhadap seorang penduduk di pangsapuri berkenaan hanya dalam tempoh empat bulan sahaja.

Seorang penghuni yang menjadi mangsa, Yong Keh Boon, 40, berkata, mereka menyedari ditipu oleh wanita terbabit selepas mendapat maklumat daripada satu kumpulan Whatsapp yang disertainya apabila membincangkan mengenai perihal peguam yang sama.

Yong Keh Boon

Menurutnya, ada rakan grup berkenaan menyatakan wanita berkenaan ada pihak tertipu dengan janji Eveny dalam satu kes pada tahun lalu.

“Nombor telefon wanita itu juga tidak dapat dihubungi malah ketika saya dan beberapa penghuni yang menjadi mangsanya pernah mencari beliau di pejabatnya di Puchong.

“Apa yang kami dapati pejabat guaman wanita itu telah tidak beroperasi dan terdapat nota yang diletakkan dipapan kenyataan diluar premisnya dengan tertulis “hubungi beliau kemudian”,” katanya yang merupakan seorang pemandu Grab.

Seorang warga emas, Ho Pui Fuang, 70, pula yakin dengan pujukan wanita itu selepas seorang penduduk di pangsapuri tersebut berbangsa India telah memiliki strata sendiri selepas berurusan dengan peguam terbabit.

Ho Pui Fuang

Katanya, dia yang meminjam wang daripadanya anaknya sebanyak RM1,800 bagi tujuan berkenaan tidak menyangka akan menerima nasib seperti itu.

“Saya ingat nak tolong bangsa sendiri tapi tak sangka pula dia buat saya begini. Apa yang dibuat oleh wanita ini sememangnya memalukan bangsa saya sendiri,” ujarnya.

Koay Kim Sua, 57, pula berkata, peguam terbabit sememangnya pandai memujuk hingga beliau sendiri terpengaruh.

Jelas beliau, dia mempunyai tiga urusan terhadap pemilikan hartanah yang diserahkan kepada wanita terbabit untuk diuruskannya ekoran tidak faham dengan prosedur berkaitan.

Koay Kim Hua”Saya sudah buat bayaran kepadanya sebanyak RM2,800. Dia kata urusan ini boleh selesai segera dan akan menghubungi saya semula jika segalanya telah selesai.

“Saya sampai sekarang ini, batang hidung dia pun tak nampak. Apatah lagi nak hubungi saya semula. Saya ada ada cuba hubungi dia tapi sampai sekarang gagal seolah-olah nombor telefon telah bertukar,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian menggesa agar wanita terbabit segera berurusan dengan mangsa-mangsa yang cuba dianiayai dengan memberikan tempoh selama 30 hari kepada mereka.

Tegasnya, meskipun setiap individu yang ditipu olehnya telah membuat laporan polis namun satu lagi laporan polis akan dibuat terhadapnya serta perkara itu akan dibawa ke Majlis Peguam untuk tindakan memandangkan wanita itu merupakan seorang peguam.

“Kita sudah semak dengan pihak Majlis Peguam dan mendapati wanita ini tidak memperbaharui daftar dirinya sebagai peguam sejak tahun lepas.

“Jadi, kami lihat ada unsur-unsur penipuan oleh wanita ini dan dia cuba untuk melepaskan diri,” katanya yang turut memberitahu, ia merupakan aduan pertama seumpama itu diterima di Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kajang.

Beliau turut melahirkan kehairanannya bagaimana peguam itu boleh menjalankan aktiviti bertemu dengan penghuni di pangsapuri terbabit sedangkan perbuatannya itu sendiri sudah menyalahi undang-undang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian

Justeru, beliau menggesa semua pihak terutamanya warga emas agar sentiasa berhati-hati dengan tidak mudah untuk mempercayai orang luar yang menawarkan khidmat seperti itu tanpa melihat latar belakang mereka terlebih dahulu.

Katanya, beliau juga turut meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dan mengheret wanita terbabit kemuka pengadilan ekoran laporan polis dibuat terhadapnya. – MalaysiaGazette