Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang sudah masuk hari ke-74 menyaksikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja bersumpah tetapi juga menafikan menyeleweng dana syarikat tersebut.

Najib berkata, beliau bukan ‘bodoh’ sehingga mengeluarkan arahan supaya wang sebanyak RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya antara Disember 2014 sehingga Februari 2015.

Kata Najib, beliau tidak menganggap dirinya begitu pandai namun pada masa sama bukanlah tidak mempunyai akal fikiran sehingga boleh mengarahkan seseorang memasukan wang sebanyak itu ke dalam akaun peribadinya.

Malah kata beliau, sehingga hari ini tidak ada sebarang bukti yang menyatakan beliau telah memberikan arahan supaya dana RM42 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Ambanknya.

“Jika saya mahu menyeweleng dengan cara sebegitu, saya jugalah insan begitu bodoh untuk berbuat demikian rupa dengan memasukan ke dalam akaun peribadi saya sendiri.

“Saya mungkin bukanlah begitu bijak pandai tapi pastinya bukan juga bodoh.

“Sebenarnya, tidak ada saksi yang mendedahkan kononnya saya telah beri arahan seperti itu, juga tidak ada arahan bertulis. Tidak ada mesyuarat berkaitan perkara ini, tidak ada bukti wang sebanyak itu telah ditawarkan kepada saya sebagai rasuah bagi memberi kelulusan jaminan bagi pinjaman RM4 bilion kepada SRC.

“Saya sudah begitu lama dalam kerajaan, selama sembilan tahun juga telah menjawat jawatan Perdana Menteri, langsung tidak masuk akal untuk seseorang mendakwa kononnya saya telah mengambil wang MKD kemudian letakkan ianya dalam akaun peribadi saya sendiri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam bela, Farhan Read di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sempat bersumpah dengan nama tuhan bahawa beliau tidak pernah sesekali mengarahkan dana SRC International sebanyak RM42 juta itu dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau dalam nada tenang melafazkan sumpah berkenaan dalam bahasa Arab ketika menjawab soalan peguam Farhan pada awal prosiding hari ini.

“Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak pernah memberi arahan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil memindahkan wang terbabit ke dalam akaun peribadi saya,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga menegaskan tidak ada sebab mengapa beliau perlu menarik diri ketika mesyuarat Kabinet membincangkan jaminan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

“Mengapa saya perlu tarik diri? Ini bukan sesuatu yang melibatkan keluarga saya. Sebelum ini juga, tidak pula mana-mana Menteri Kewangan berbuat demikian.

“Selalunya Setiausaha kepada Kabinet, pada masa itu Tan Sri Masidah akan menasihatkan Menteri jika perlu undur diri dari perbincangan itu, setahu saya beliau tidak pula menasihati saya berbuat demikian malah tidak ada asas juga untuk suruh saya undur,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung esok jam 9 pagi dengan saksi pembelaan akan dipanggil memberikan keterangan. –MalaysiaGazette

5 Komen

Comments are closed.