BALI – Hampir 1,000 ekor babi di Bali mati akibat penyakit yang belum dikenalpasti, kata pihak berkuasa tempatan.
Penternak babi khuatir penularan penyakit berkaitan virus Demam Babi Afrika (ASF) yang menyebabkan kematian hampir 50,000 ekor babi di Sumatra Utara sejak beberapa bulan lalu namun pera pegawai di Bali masih tidak dapat mengesahkan punca kematian itu, kata mereka yang masih menunggu keputusan laporan makmal.
Menurut agensi keselamatan pertanian dan makanan Bali, sekurang-kurangnya 888 ekor babi telah mati akibat penyakit sejak dua bulan lalu.
Ketua Pusat Penyelidikan Veterinar Denpasar, Wayan Masa Tenaya berkata, contoh darah daripada babi yang mati telah dihantar ke Pusat Penyelidikan Veterinar Medan untuk diuji selepas ujian awal tidak mendapati tiga penyakit biasa menyerang babi di Bali iaitu septicemia epizootica, hog cholera dan streptococcus suis.
Sementara itu, pegawai kanan agensi keselamatan pertanian dan makanan Bali, Ikg Nata Kesuma memberitahu The Jakarta Post bahawa jumlah kematian itu akibat penyakit tersebut adalah rendah memandangkan jumlah keseluruhan haiwan tersebut di pulau berkenaan berjumlah kira-kira 800,000 ekor.
“Berikutan penularannya, kami telah melipat gandakan usaha untuk menghalangnya daripada merebak kepada babi lain. Kami gembira kerana tiada lagi laporan kematian babi dalam tempoh enam hari,” kata Nata Kesuma. – Agensi