PETALING JAYA – Islamophobia yang trsebar sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan komuniti antarabangsa berpunca daripada kegagalan pemimpin negara Islam menerangkan kepada barat mengenai perbezaan antara muslim radikal dan Islam normal.
Perdana Menteri Pakistan menyatakan kekesalan itu sambil mendesak negara-negara Islam termasuk Organisasi Kerjasama Negara Islam (OIC) mencari titik nokhtah terhadap salah faham itu yang mana Islamophobia berkembang dalam kalangan kuasa barat dengan tanggapan negatif.
Justeru beliau berkata, situasi semakin kritikal apabila Muslim yang ‘normal’ dan ekstrem tidak dapat dibezakan sehingga mengakibatkan beberapa insiden dan serangan terhadap komuniti Islam di seluruh dunia.
“Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun datang melakukan serangan berani mati tetapi kenapa mereka tidak dikritik, begitu juga Tamil Eelam yang melakukan asasinasi terhadap Mahatma Gandhi, kenapa itu tidak dikutuk.
“Tetapi pada akhirnya Islam juga dikecam, dikutuk dan dilabel sebagai ekstrimis dan pengganas sehingga Islamofobia menghantui dan menakutkan negara negara dan kumuniti Barat,” katanya dalam sesi dialog bertajuk Visi Keselamatan dan Keamanan Serantau di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini petang tadi bersempena Lawatan Kerja beliau ke Malaysia pada 3 dan 4 Februari 2020.
Beliau tiba ke majlis tepat pukul 3.15 petang tadi dengan dialu-alukan oleh lebih 500 orang terdiri daripada warga Pakistan, India dan juga mahasiswa tempatan.
Mengulas lanjut, Imran juga merasakan bahawa Revolusi Iran sejak beberapa tahun ini yang begitu kuat menentang negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat selaku kuasa besar dunia sehingga mencetuskan ketakutan terhadap Islam turut menyumbang kepada Islamophobia.
“Penulis buku kontroversi Salman Rushdie bertajuk ‘the Satanic Verses pada 1988 yang diterbitkan di United Kingdom yang dianggap menghina Islam sehingga ditentang umat Islam sendiri.
“Dalam perkara ini kita gagal menjelaskan kepada dunia kenapa buku ini sangat menyakitkan Islam, apabila barat melihat reaksi dunia Islam terhadap buku dan penulis itu maka menganggap bahawa komuniti Islam tidak bertoleransi,” tegasnya.-MalaysiaGazette