PUTRAJAYA – “Saya menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad), saya masih anggota jemaah menterinya.”
Itu reaksi Datuk Seri Saifuddin Nasution berkenaan kritikan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwanya bersikap kurang ajar terhadap Perdana Menteri.
Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR itu hanya menyatakan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu bebas memberikan pandangannya kerana ia tidak akan mengubah apa-apa.
“Takiyuddin menyokong Datuk Seri Najib (Razak) yang dikaitkan dengan pemerintahan ala kleptokrat dulu dan Takiyuddin hanya mengubah menyokong Tun Dr Mahathir setelah Datuk Najib jatuh,” katanya.
Sebelum itu, Takiyuddin menyifatkan Saifuddin kurang ajar merujuk kepada kenyataan Saifuddin dalam satu artikel bertajuk ‘Pas sokong Dr. M selepas kleptokrat kesayangan hilang kuasa’.
Takiyuddin turut menyifatkan kenyataan Saifuddin jelas menunjukkan PKR kini di ambang kejatuhan.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin menegaskan sokongan yang diberikan kepadaMahathir merupakan sesuatu yang membezakan antara beliau dengan Takiyuddin dan itu merupakan hakikat.
Ujarnya, beliau konsisten dengan Mahathir sebelum dan selepas PRU-14 yang lalu manakala Takiyuddin hanya mengubah sokongannya kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada masa sekarang.
Terdahulu, Saifuddin hari ini mengadakan sesi ramah mesra dengan rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai langkah libat urus dan komunikasi dua hala.
Pemegang taruh, rakan strategik, rakan niaga, pengguna, NGO, dan kakitangan adalah entiti yang sangat dihargai dan sentiasa disertakan dalam libat urus dan berkomunikasi. – MalaysiaGazette