Gambar hiasan

KANGAR – Tanggapan masyarakat bahawa air ketum mampu merawat penyakit diabetes dan darah tinggi adalah tidak benar dan ia hanyalah mitos kerana tiada bukti secara klinikal atau saintifik bahawa ia mampu mengubati penyakit ‘dua serangkai’ itu.

Ramai yang percaya air ketum mampu menurunkan paras gula berlebihan dalam darah sekiranya diambil secara tradisional dengan membuang urat tengah daun tersebut, malah ada yang mendakwa bahawa penyakit mereka sembuh setelah beberapa tahun mengambil air ketum tanpa bergantung kepada ubat moden.

Kajian saintifik mendapati bahawa air ketum boleh membawa kepada implikasi sawan atau dengan erti lain epilepsi sekiranya diamalkan untuk tempoh masa yang lama atau mengambilnya secara berlebihan.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr. Nurazam Omar berkata ketum atau nama saintifiknya ‘Mitragynine’ mempunyai persamaan dengan dadah jenis opiat kerana individu yang mengamalkannya boleh membawa kepada proses khayal.

“Individu yang mengamalkannya boleh menjadi khayal dan jika diambil dalam kuantiti berlebihan boleh mengakibatkan sesak nafas. Malah ia  juga boleh mengakibatkan sembelit.

“Kebanyakkan orang-orang dahulu mengambil ketum ini untuk melegakan cirit-birit. Ada juga pembuktian bahawa ketum ini juga boleh memberikan tenaga kepada orang yang mengambilnya,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Nurazam berkata, dalam dunia perubatan kebiasannya individu yang mengalami sebarang sakit akan diberikan ubat penahan sakit yang juga dikenali sebagai morfin untuk pesakit itu tidur.

Katanya, ketum ini juga boleh mengakibatkan seseorang individu itu mengalami sawan  sekiranya ia diamalkan dalam tempoh masa yang lama.

“Kebiasaannnya mengikut sejarah perubatan, seseorang yang telah dewasa (maksudnya remaja hingga tua) yang mengalami sawan ini biasanya mengambil ketum secara berlebihan. Anak yang lahir sekiranya didiagnos dengan penyakit sawan ini, kita kena lihat sejarah ahli keluarganya yang biasa mengamalkan ketum,” katanya lagi.

Beliau berkata, individu yang disahkan sawan ini kelazimannya mengambil cecair ketum yang dicampurkan dengan bahan asing seperti ubat batuk, minuman berkarbonat  dan lain-lain.

Katanya, di luar negara, daun ketum digunakan untuk mengurangkan ketagihan dadah bagi menggantikan ‘methadone’ tetapi adalah  lebih baik menguna methadone.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan tradisional yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Suid, 57, berkata, beliau menguna daun ketum  untuk merawat cirit birit dan mampu memberi tenaga kepada mereka yang bekerja berat seperti melakukan kerja sawah.

Katanya, daun ketum yang dipetik akan dibuang urat tengah terlebih dahulu sebelum direbus bersama air sehingga mendidih dan apabila air bertukar menjadi kehijauan ia boleh diminum.

“Air ketum untuk tujuan perubatan tradisional tidak dicampur dengan bahan lain seperti ubat batuk sebaliknya ia diminum dalam kuantiti sedikit iaitu kira-kira secawan bagi mengembalikan tenaga atau merawat penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya,

Malaysia adalah antara negara yang mengharamkan ketum melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik bagi mengawal penanaman, pemilikan dan pengedaran ketum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast