Tun Mahathir Mohamad bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 MEI 2018

PERGOLAKAN politik negara tidak pernah reda sejak tumbangnya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Penolakan besar-besaran masyarakat Cina dan India serta sebahagian besar masyarakat Melayu terhadap UMNO khususnya dan BN amnya telah memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan buat julung kalinya.

Perang saraf di media sosial yang cukup luar biasa semenjak PRU 13 dan kemuncaknya pada PRU-14 telah menyebabkan BN tewas.

Kelemahan BN

Benar, BN tumbang kerana kelemahan ciptaannya sendiri. Harapan, kekeliruan, derita, duka dan kemarahan rakyat tidak ditangani dengan baik, sedar dan insaf.

Ada pemimpinnya mahupun ‘pengilap kasut’ para pemimpin hidup mewah sedangkan rakyat marhaen merasakan hidup cukup jerih pada masa itu. Ditambah pula dengan isu 1MDB, FELDA, GST dan berbagai lagi telah membuatkan imej BN tercalar teruk.

Tidak dinafikan jasa BN cukup besar kepada rakyat dan negara. Namun kesilapan dan sikap sesetengah pemimpin BN khususnya UMNO pada ketika itu telah benar-benar membuatkan rakyat mual dan marah.

Malaysia pasti jauh lebih hebat jika kerajaan pada ketika itu benar-benar amanah, bersih dan adil kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa.

Kegagalan mendukung harapan dan aspirasi rakyat itu telah mendorong sebahagian penyokong tegar BN khususnya penyokong UMNO dan mereka yang berada di atas pagar yang dahulunya menyokong BN berubah angin dan menyokong PH.

Kerajaan PH

Kerajaan PH terbentuk bukan kerana kehebatan pemimpinnya tetapi kerana harapan rakyat Malaysia yang percaya kepada janji-janjinya.

Rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang bersih, adil dan berintegriti terpuji. Benar, faktor Tun M banyak menyumbang kepada kejayaan PH walaupun dari segi kerusi Parlimen Parti BERSATU mempunyai jumlah kecil.

Namun sentimen mahukan perubahan menerusi gagasan Malaysia Baru dan aura Tun M benar-benar membantu PH.

Realiti pahit

Malangnya harapan rakyat bagaikan hancur berkecai kerana sikap pemimpin PH dalam kerajaan bagaikan tikus membaiki labu atau Si Kudung mendapat cincin . Kebahagian yang rakyat harapkan dibalas dengan tekanan demi tekanan.

Secara amnya visi Tun M untuk membina Malaysia baru dan memperbaiki kesilapannya yang lalu tidak mendapat sokongan padu parti komponennya sendiri di samping menteri-menterinya yang bagaikan hilang punca bila berkuasa.

Kini hampir dua tahun telah berlalu dan masih belum nampak apa-apa dasar yang berimpak tinggi terbentuk.

Sedarkah pemimpin kerajaan hari ini iaitu tahun pertama selepas menang pilihan raya ialah tahun membentuk polisi, tahun kedua melaksanakannya, tahun ketiga memperkemaskannya, tahun keempat merayakan kejayaan dan tahun kelima rakyat akan menilai dan akan terus memberi sokongan jika mereka bagus dan sebaliknya dalam PRU akan datang.

Di samping itu, hubungan antara kaum dapat dirasakan semakin tidak selesa. Kesal dan sedih melihat apa yang berlaku sedangkan masyarakat Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa sudah berpuluh tahun berkawan dan bersahabat.

Kerenggangan yang berlaku tidak ditangani dengan baik dan akhirnya ia semakin melebar dan memburuk bagai api dalam sekam. Pasti semua rakyat Malaysia yang matang, sayangkan keharmonian yang pernah dikecapi dahulu.

Keadaan ekonomi juga tidak memihak kepada negara. Di kala Indonesia, Vietnam dan negara-negara lain terus memacu ekonomi mereka, Malaysia berada dalam keadaan sebaliknya sehingga terpaksa menjual aset-aset bernilai.

Pastinya perkembangan ini amat tidak sihat. Lebih mendukacitakan apabila pendakwaan terhadap tokoh-tokoh tertentu terlalu diberi perhatian.

Sewajarnya kerajaan perlu fokus kepada isu besar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia iaitu kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan terhad, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan berbagai lagi yang semakin merosot atau tidak lebih baik dari dahulu.

Benar, rakyat perlu tahu kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan dahulu tetapi biarlah pihak berkaitan melaksanakan tugasnya dan pihak didakwa diberi keadilan sebaiknya untuk membela diri.

Bukankah itu yang negara dan rakyat mahukan iaitu sistem perundangan yang bebas dan telus. Berlebih-lebihan dalam percaturan politik telah membuatkan rakyat muak dan marah.

Kesannya boleh dilihat apabila PH terus ditolak dalam PRK khususnya semenjak PRK Cameron Highlands hinggalah PRK Kimanis.

Gagal insaf dan sedar diri

Amat jelas PH tidak insaf dan sedar diri dengan isyarat yang diberikan oleh rakyat. Sikap sedemikian boleh membawa padah buruk kepada PH tanpa perlu menunggu PRU15.

Pergolakan dalam sebuah parti komponen utama PH amat jelas menunjukkan betapa kerasnya hati mereka dan begitu juga dengan isu peralihan kuasa.

Pandangan mata mereka bagai tidak nampak meja perundingan, perdamaian dan kasih sayang. Apa yang terbentang di mata mereka adalah medan perang. Sedarkah mereka yang menang akan jadi arang dan kalah akan jadi abu.

Mereka lupa yang mereka diangkat oleh rakyat untuk berkhidmat dengan tekun, amanah dan jujur. Malangnya mereka terus bermain politik.

Dosa politik mereka ini melayakkan rakyat menghumbankan dan menguburkan mereka dari arena politik negara.

Kerajaan Baharu

Ada yang menyokong dan ada yang membantah sekeras-kerasnya. Apapun kesudahannya ia bukan atas keperluan survival politik mereka yang tertentu. Ia harus berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Jika benar kerajaan hari ini yang ditunjangi oleh PH telah gagal untuk duduk berunding dengan baik dan memberi khidmat terpuji kepada rakyat maka ada dua pilihan utama buat mereka.

Pertama, bubarkan Parlimen. Serahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu. Pastinya perkara ini hampir mustahil kepada mereka yang takut hilang kuasa.

Kedua, membentuk koalasi baharu di mana beberapa parti yang ada di blok kerajaan dan pembangkang membentuk gabungan baru.

Apapun tindakan yang diambil perlulah bertunjangkan kebajikan rakyat.

Hentikanlah politik berorientasikan survival politik pemimpin kerana politik membela nasib rakyat itu lebih bermakna bagi sebuah perjuangan dalam membina negara bangsa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. Ulasan yg amat tepat, namun adakah pemimpin umno bn insaf n ambil pengajaran, hingga kini umno masih dipimpin oleh individu yg bermasalah. Sebaiknya beri pada org lain yg dilihat bersih

  2. Betui tuu..saya sokong seperti mana saudara Che Add berfikir. Seorang pemimpin bertolenrasi jujur serta amanah dipikul menjadi tunggak kejayaan negara. Rakyat terus dibela kerana rakyat memilih pemimpin sejati beretika. Dalam konteks ini, pemikiran pemimpin telus dan adil bijaksana mampu beroleh kejayaan demi maruah negara Malaysia.
    “SELAMATKAN MALAYSIA”

  3. Memperbaiki negara yg rosak yg disebabkan oleh penyamun Najib cs bukan semudah yg disangka awal.
    Walaupun masa 2 tahun penuh dgn beban, banyak dasar kerajaan baru PH yg telah ditambah baik.
    – pengurangan kadar tol.
    – kenaikan harga minyak yg dapat dibendung.
    – tender terbuka.
    – kebebasan bersuara.
    – pembongkaran kes penyelewengan, rasuah & khianat pemimpin umno & pas.

    Tapi disebabkan kan permainan @ provokasi yg dimainkan oleh pemimpin umno & cytro mereka, ada rakyat yg rasa terhasut.

    In syaa Allah, diharapkan dlm 4 thn masa pemerintahan PH nnti, kesemua janji@manifesto yg dibuat telah dapat dilaksanakan.

    Dalam masa itu, mata rakyat akan terbuka luas.

    Sementara bbrapa kes yg melibatkan pemimpin umno & pas dapat diselesaikan.
    Sehingga mereka akan menjadi penghuni penjara.

  4. Jika masih tak faham atau terlalu muda untuk menuduh pemimpin BN/PAS supaya masuk penjara baik jangan komen terus. Siapakah pemimpin BN yang pernah memimpin Malaysia? Lain tak bukan hero kamu Tun M – UMNO, Lim Liong Sik – MCA, Samy Vellu -MIC? Tapi pemimpin MIC/MCA pandai mereka walaupun masih bersengat tapi bila pencen mereka terus kunci mulut mereka sebab poket dah penuh dan perut pun dah buncit dan bertaraf “Billionaire” tapi mamak Kutty hero kamu yang “big boss” mereka ini masih kebulur kemashuran terhegeh hegeh nak jadi PM lagi sekali, supaya dapat memperkukuhkan kedudukan anaknya sebagai ahli politik ( tapi anak bukan bapak , tak akan dapat mengisi capal bapak dia) dan awal awal lagi Mamak Kutty ini telah membuat hal, tapi tak ada seorang pun politikus PH yang berani menegurnya. Mamak Kutty telah menawarkan kontrak pembekalan bahan api kenderaan kerajaan pada “Petron” iaitu syarikat milik keluarganya. Petron di miliki oleh syarikat beribu pejabat diFilipina, San Miguel Brewery pembuat minuman ” beer” alkohol dan pemegang sahamnya adalah Mokhzani Mahathir yang bernilai berBillion2 USD. Dari mana ntah si Mamak Kutty dapat duit ber Billion2 untuk membeli saham San Miguel? Nak tahu tanyalah DSAI yang pada waktu itu TPM/Menteri Kewangan, klau Mamak Kutty itu bersih sangat tak adalah sesiapa bermimpi nak tubuhkan PKR dan berontak. Klau 2 balachi BN – MIC/MCA dah bergelar “Billionaire” takanlah pemimpin utama – UMNO cuma bergelar “Haji Bakhil bin Kedekut” hari2 pegang tasbih? Saya sokong PH bukan terlior nak tengok Tun M jadi PM , nak tengok DSAI jadi PM! Yang herannnya geng2 PH pilih Tun M jadi PM walhal mereka semua tahu cerita2 sebalik tabir Tun M dari hari pertama dia bergelar PM memang penuh dengan darah, pembunuhan, penyelewengan, penghianatan, wang haram, penipuan, pembohongan, penganiayaan rakyat, kecurian wang royalti negeri2 sampai kini, tidak mengendahkan nasihat pakar ekonomi Malaysia ( Tun Ismail Ali) supaya penubuhan Proton di kaji lebih mendalam ( dan sekarang apa dah jadi? No economy of scale). Dan masih ara ramai bebudak lembut ubun2 menyanjung Mamak Kutty sebagai hero?? Apa kamu semua sudah buta tuli ke atau bodohkah?

Comments are closed.