PUTRAJAYA – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melayan sebarang khabar angin, lebih-lebih lagi terhadap usaha pihak tertentu untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, khabar angin itu dilihat cuba untuk menggugat kestabilan kerajaan hari ini.
“Saya fikir kita tak patut buang masa kepada khabar angin.
“Khabar angin akan berterusan sana sini dan pastinya ada pihak akan ambil kesempatan untuk ganggu kestabilan kerajaan hari ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membidas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu parti Melayu itu bersama dengan Pas untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hasrat itu diakui sendiri oleh Ahmad Zahid ketika berada dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Himpunan Muafakat Nasional UMNO, Isnin lalu.
Dalam pada itu, Anthony menegaskan, Kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir kini berada dalam keadaan kuat dan stabil.
“PH masih kuat dan stabil di bawah Tun Dr Mahathir dan khabar angin ini beri kelebihan kepada pihak tertentu untuk melemahkan kerajaan hari ini,” katanya.
Katanya lagi, ketika negara dan seluruh dunia berdepan dengan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV), semua pihak khususnya menteri Kabinet sepatutnya bekerjasama untuk melawan virus tersebut.
“Kita sedang berdepan dengan krisis dan saya fikir seluruh dunia sedang berdepan dengan krisis, kita patut bekerja ke hadapan untuk kebaikan negara.
“Kita patut datang dan bekerjasama melawan virus dan pulihkan ekonomi kita kerana banyak industri dan aktiviti ekonomi terjejas kerana koronavirus,” katanya. – MalaysiaGazette