Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media Majlis Amanat dan Aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Sebarang unsur offset atau timbal balas dalam sebarang urusniaga adalah amalan biasa dan ia tidak bererti melakukan kesalahan serius.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau berpandangan bahawa sebarang urusniaga yang melibatkan ‘timbal balas’ dalam bentuk wang yang dimasukkan dalam poket sendiri boleh dianggap rasuah dan ia adalah kesalahan serius.

Katanya, menjadi amalan biasa untuk kerajaan yang berurusniaga dalam pemerolehan akan mengharapkan timbal balas atau offset.

“Sama ada kamu anggap atau klasifikasikan offset sebagai rasuah, itu terpulang kepada kamu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat dan Aspirasi kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan rasuah yang melibatkan pengeluar pesawat, Air bus dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dan AirAsiaX.

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AirAsia), Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, menafikan pasukan Formula 1 Caterham mempunyai sebarang kaitan dengan tuduhan rasuah yang membabitkan syarikat penerbangan itu dengan pembekalnya, Airbus SE.

Mereka berkata, Caterham F1, syarikat yang dikatakan mendapat tajaan secara tidak wajar oleh Airbus, pada masa itu adalah pasukan Formula 1 yang mengelilingi dunia mempromosikan AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus.

Kedua-duanya berkata, sepanjang tempoh itu, mereka adalah pemegang saham dalam Caterham, syarikat yang tidak mencatatkan keuntungan sebelum dijual pada harga 1 pound Britain pada 2014, kerana dari awal hingga pengakhirannya ia satu penjenamaan serta bukan usahasama untuk menjana keuntungan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.