Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 57 kawasan di Wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan berlaku kejadian paip pecah di Rumah Pam Hulu Kelang pada jam 5.15 awal pagi ini.

Pihak pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memberitahu, kejadian itu menyebabkan penurunan air ke paras 0.72 meter di Kolam Air Madonna berbanding paras normal 4 meter.

Katanya, kerja pembaikan paip itu kini sedang giat dilaksanakan dan menjangkakan siap kira-kira jam 6.30 petang ini.

“Bekalan air akan disalurkan semula kepada pengguna selepas paras kolam ditingkatkan ke paras normal dan tempoh pemulihan secara berperingkat akan berlaku ke kawasan terjejas bergantung kepada kedudukan altitude.

“Sebelum berlaku kejadian awal pagi ini, dua kejadian paip pecah di kawasan Ampang telah berlaku pada Rabu lalu di Taman Ukay Heights dan di jajaran paip Taman Ampang Utama.

“Bagaimanapun, kerja baikpulih itu telah siap sepenuhnya pada hari sama dan sewaktu usaha pemulihan sedang dilaksanakan, kejadian pada awal pagi ini telah memberi kesan berterusan kepada pengguna di kawasan tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas berikutan insiden itu menerusi lori tangki dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital.

Justeru, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui 25 lori tangki air dan dua lori tangki jumbo, pengguna dinasihat mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) di AEON Big Ampang, Taman Dagang Permai yang telah dibuka bermula sejak jam 9.30 pagi ini.

Pihak Air Selangor, kata kenyataan itu, akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden berkenaan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast