Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Komisioner Polis, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kanan) berjabat tangan bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ramli Haji Din (dua kiri) selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua kanan) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tiga kiri) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din dilantik secara rasmi sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang baharu, hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Khalil Kader Mohd yang akan bersara wajib pada Ahad ini.

Majlis serah terima tugas antara Ramli dan Mohd Khalil berlangsung di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman dengan disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

Mohd Khalil kemudian menyerahkan nota tugas dan tongkat kuasa sebagai simbolik serah tugas Pengarah JSJN kepada Ramli.

Dalam ucapannya Abdul Hamid menyifatkan Mohd Khalil seorang pegawai kanan polis yang menyenangkan dan cemerlang, selain membuat pelbagai transformasi dalam JSJN sepanjang tujuh bulan menerajui jabatan itu, sejak Julai lalu.

Katanya, banyak kejayaan JSJN dicapai di bawah seliaan Mohd Khalil dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini sehingga mendapat perhatian kerajaan dan disebut-sebut pelbagai pihak.

“Beliau ikhlas dalam tugasnya, berjaya menaikkan nama JSJN sebagai satu jabatan yang digeruni tanpa berniat untuk menaikkan namanya sendiri,” katanya.

Tambah beliau, segala kejayaan yang dicapai JSJN sekarang dalam usaha memerangi dadah di negara ini diharap akan diteruskan oleh Pengarah JSJN yang baharu.

Mohd Khalil berasal dari Seremban, Negeri Sembilan menyertai PDRM pada 1982 dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Penolong Pengarah (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Setiausaha PDRM, Ketua Polis Daerah Putrajaya dan Ketua Polis Johor.

Bekas graduan Universiti Glasgow Caledonian, United Kingdom itu juga pernah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi.

Antaranya, mengetuai siasatan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, serta dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Khas Siasatan insiden pesawat Malaysia Airline MH17. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.