KANGAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 23 orang lelaki termasuk 11 orang warga Thailand, yang didapati memiliki dan meminum air ketum di sebuah pondok yang dijadikan sebagai ‘tempat lepas gian’ di Kampung Batu 20, Jalan Padang besar di sini semalam.
Komander PGA Briged Utara, SAC Abdul Ghani Mohd Ji berkata, walaupun mereka cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota PGA, namun kesemua mereka berjaya ditahan dalam operasi kira-kira jam 3.30 pagi.
“Suspek yang ditahan berumur antara 19 hingga 67 tahun dan empat suspek warga tempatan serta dua warga Thailand gagal menunjukan pengenalan diri, ketika diperiksa,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, pihaknya menemui 119 bungkus air ketum, empat botol minuman berkarbonat, 17 botol ubat batuk dan 17 gulung daun hijau dipercayai daun ketum seberat 1,000 gram, selain merampas 20 buah motosikal, 24 telefon bimbit dan empat kad pengenalan lama dan dua pasport Thailand.
Abdul Ghani berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM87,012.00 dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara itu dalam satu serbuan berasingan, PGA merampas sepuluh bungkusan mengandungi daun ketum seberat 117.8 kilogram bernilai RM17,670.00, di hadapan pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 2.30 petang, semalam.
Abdul Ghani berkata ketika melakukan rondaan, anggotanya terserempak dengan sekumpulan lelaki yang sedang memunggah bungkusan plastik berwarna hitam, daripada sebuah kereta.
“Menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua suspek melarikan diri ke negara jiran (Thailand) menerusi pagar sempadan yang dipotong,” katanya.
Katanya kesemua barang rampasan termasuk kereta yang diguna suspek dianggarkan bernilai RM37,670.00 telah dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette