KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka mengukuh pada paras semasa minggu hadapan.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa, bagaimanapun berkata, pasaran akan tetap berhati-hati memandangkan para peniaga akan menunggu laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengenai pengeluaran minyak sawit bagi Januari 2020 yang akan dikeluarkan Isnin ini.

“Harga akan kekal tinggi disebabkan oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah untuk Januari,” katanya kepada Bernama.

Pada 5 Feb lepas, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mengeluarkan data yang menunjukkan bahawa pengeluaran minyak sawit pada Januari 2020 jatuh sebanyak 15.53 peratus kepada 1.13 juta tan berbanding dengan Disember 2019.

Sementara itu, Sathia meramalkan bahawa pesanan eksport minyak sawit akan merosot terutamanya dari China di tengah-tengah wabak koronavirus yang masih berterusan.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih tinggi dalam jangkaan pengeluaran yang lebih rendah, prestasi harga minyak kacang soya yang lebih baik serta jangkaan permintaan yang lebih kukuh berikutan Pakistan dilaporkan akan mengimport minyak sawit dari Malaysia.

Dari Jumaat ke Jumaat,  kontrak niaga hadapan MSM bagi Februari 2020 naik sebanyak RM232 kepada RM2,872 setan, Mac 2020 meningkat RM229 kepada RM2,860 setan, April 2020 menokok RM209 kepada RM2,813 setan dan Mei 2020 melonjak RM201 kepada RM2,774 setan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 314,124 lot daripada 339,279 lot yang direkodkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 315,771 kontrak daripada 331,097 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi Februari Selatan melonjak RM240 kepada RM2,940 setan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast