Azman Ismail

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menubuhkan Jawatankuasa Governans, Risiko dan Pematuhan di peringkat Jawatankuasa Lembaga Pengarah oleh Unit Governans dan Integriti dalam usaha memperkukuhkan tadbir urus korporatnya.

Penubuhan jawatankuasa itu selari dengan Panduan SPRM dan Pelan Anti-Rasuah Nasional.

Syarikat pengendali lebuh raya itu juga telah melancarkan Panduan Anti Rasuah dan Korupsi (ABAC) yang menggariskan 10 prinsipal utama integriti.

Dalam masa yang sama, bagi menerapkan nilai dan amalan budaya integriti dalam kalangan warga kerjanya, syarikat ini turut menyediakan 112 latihan bersemuka buat semua 3,800 warga kerjanya di 17 pejabat operasi wilayah dan seksyen PLUS di seluruh negara.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, syarikat itu sedang berusaha untuk mencapai standard MS ISO 37001 melalui amalan anti-rasuah dan korupsi.

“Usaha dan inisiatif PLUS dalam memerangi rasuah dan korupsi tidak boleh dilakukan secara bersendirian, oleh itu, semua pihak yang berurusan dengan PLUS dijemput untuk bekerjasama dalam mewujudkan sebuah ekosistem yang sihat, kondusif dan beretika,” katanya dalam kenyataan ini.

Baru-baru ini katanya, pengurusan dan warga kerja PLUS bersama 400 rakan niaga, penyedia perkhidmatan, kontraktor, pengawal selia dan agensi kerajaan telah menyatakan komitmen untuk bebas daripada rasuah dengan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah.

“PLUS mengamalkan toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi. Integriti sebenar adalah melakukan perkara yang betul apabila tiada sesiapa yang melihat.

“Saya percaya, mana-mana organisasi untuk berkembang maju dan menjadi nilai kepada masyarakat, barisan kepimpinannya mestilah mengamalkan nilai integriti dengan sepenuh hati kerana ia merupakan aspek terpenting dalam memacu kebenaran dan ketelusan dalam kehidupan seharian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast