Mukhriz Mahathir
ALOR SETAR – KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd (KXP AirportCity) telah melantik  Aeroport de Paris Ingenierie (ADPI) bagi merangka pelan induk pembangunan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) Aerotropolis.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, tender terbuka telah dibuat dalam tempoh empat bulan terakhir untuk membolehkan perunding pelan induk antarabangsa mengemukakan cadangan membabitkan projek tersebut.

“Selepas proses dua peringkat pemilihan, enam daripada 28 syarikat yang mengemukakan cadangan telah disenarai pendek, yang mana akhirnya, ADPI dipilih,” katanya selepas majlis menandatangani KXP Airportcity-ADPI di Wisma Darul Aman hari ini.

KXP Airportcity juga telah melantik beberapa perunding yang berkelayakan untuk beberapa kajian mandatori, pentaksiran dan penilaian bagi projek.

“Semua agensi yang berkaitan akan membantu dan bekerjasama dengan perunding,” tambahnya.

Mukhriz juga mengumumkan bahawa tanah untuk KXP Aerotropolis dan pembangunan KXP meliputi 9,841 ekar (3,982 hektar) telah diwartakan bagi sesuatu maksud awam di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pewartaan itu bertujuan memastikan bahawa kajian pembangunan untuk KXP Aerotropolis boleh dimulakan pada petak tanah yang sudah ditandakan.

Kaveat tanah yang diserah simpan pada Oktober 2019 telah diluluskan pada 30 Januari tahun ini, selepas sekurang-kurangnya 40 pasukan juruukur telah menjalankan kerja-kerja topografi dan kajian geospatial di tapak berkenaan.

“Lain-lain entiti seperti Jabatan Penilaian, Pejabat Tanah dan perunding juga akan memasuki tapak itu pada minggu ini. Pewartaan ini akan memastikan seluruh kawasan akan digunakan secara eksklusif untuk pembangunan bandar udara tersebut,” katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman yang agak besar kepada kerajaan negeri bagi tujuan membiayai pembelian tanah KXP Aerotropolis.

“Pinjaman ini akan membolehkan kerajaan negeri mempercepatkan pengambilan tanah, tanpa perlu menunggu kemasukan pelabur swasta.

“Pembangunan projek KXP Aerotropolis dijangka untuk menjadi pembangunan yang paling strategik di wilayah utara. Kami kini menunggu majlis pecah tanah bagi KXP pada November 2020, dan mendarat pesawat pertama pada Januari 2024,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Oliver Guichard berkata syarikat tersebut berasa bangga kerana dapat menyumbang kepada projek pembangunan ekonomi yang besar ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membawa semua pengalaman kerja kami merentasi lebih 750 projek di seluruh dunia dan menyampaikan hanya yang terbaik,” katanya.

ADPI adalah sebuah syarikat kejuruteraan Perancis yang menjalankan aktiviti seni bina dan kejuruteraan di seluruh dunia yang berkaitan dengan lapangan terbang baharu atau pembangunan semula lapangan terbang yang sedia ada. – MalaysiaGazette