Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Sesi Dialog Seminaire de Reflexion 2020 anjuran The Chamber of Commmerce & Industri France Malaysia (CCIFM) di Cyberview Lodge Resort, Cyberjaya. foto AFIQ RAZALI, 10 FEBRUARI 2020.

CYBERJAYA- “Saya bukan mengata rakyat Amerika, mereka baik-baik. Saya cuma minta Presiden Trump untuk meletakkan jawatan bagi menyelamatkan Amerika,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menzahirkan rasa kekecewaan mereka terhadap kenyataan-kenyataan yang dilontarkan oleh Dr. Mahathir terhadap Donald Trump.

Menurut kedutaan itu, kenyataan-kenyataan tersebut tidak “menggambarkan semangat dialog konstruktif” yang telah menjadi penghubung kedua-dua negara.

Perdana Menteri sebelum itu menggesa Trump supaya meletakkan jawatan susulan perjanjian damai di antara Israel dan Palestin yang dianggap Presiden Amerika Syarikat itu sebagai perjanjian abad ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rancangan untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi, Dr. Mahathir menjawab, kerajaan sedang mempertimbangkannya.

“Memang sukar untuk menarik pelancong ke Malaysia sekarang (ekoran penularan wabak 2019-nCoV) terutamanya dari China tetapi kita akan mencari jalan untuk menarik pelancong dari tempat lain seperti Eropah, India dan sebagainya.

“Ya, (memang Kementerian Kewangan sedang membuat pertimbangan untuk melaksanakan pakej rangsangan),” katanya.

Terdahulu, ketika dialog bersama Dewan Perdagangan dan Perindustrian Perancis (CCFIM) di sini, Dr. Mahathir berkata, Malaysia sedang mencari sumber tenaga baharu namun beliau mahu sumber tersebut adalah bersih dan tidak menyebabkan pencemaran.

Ketika ditanya, apakah Malaysia sedia mempertimbangkan sumber tenaga nuklear, Perdana Menteri menegaskan, selagi tiada cara selamat untuk melupuskan sisa buangan radioaktif itu, Malaysia tidak akan menggunakan sumber tersebut.

“Ilmu kita terhadap cabang sains tersebut masih tidak mencukupi, kita tidak tahu bagaimana hendak melupuskan sisa buangannya.

“Jika kita membina loji tenaga nuklear pastinya kita juga akan meningkatkan sisa buangan nuklear yang merupakan radioaktif dan sehingga kini kita masih tidak tahu bagaimana untuk melupuskannya dengan cara selamat.

“Kita tidak mahu negara ini dipenuhi oleh sisa buangan radioaktif dan kita tidak mahu menjejaskan kesihatan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Kedutaan AS kecewa dengan kenyataan Dr. Mahathir terhadap Trump

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ko dengar tu Trump!!! Kalau ko tak letak jawatan Presiden nanti atuk madey nak topple ko mcm dia topple najib 🙂

Comments are closed.