Zharudin Narudin

KUALA LUMPUR – Tindakan Lim Guan Eng yang memainkan isu Mercedes Benz dan bonus sebanyak RM50,000 yang diterima pimpinan Kelantan adalah tahap pemikiran politikus  ‘belakang dapur yang pengecut’.

Sebagai mencabar kenyataan itu, Ketua Penerangan Pas Sarawak, Zharudin Narudin meminta supaya manifesto yang tidak tertunai oleh Pakatan Harapan (PH) dan Pas Kelantan disenaraikan.

“Lihat siapa yang tidak tunai janji? Bermain dengan isu Mercedes dan bonus RM50,000 adalah tahap pemikiran politikus di belakang dapur yang sememangnya pengecut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Zharudin, rakyat tidak perlu tunggu Pas untuk Malaysia berdepan zaman gelap kerana zaman DAP dan Pakatan Harapan (PH) pun rakyat sudah cukup terseksa lebih daripada zaman kegelapan.

Menurut beliau, DAP telah gagal menunaikan janji kepada Sarawak apabila menjadi kerajaan Persekutuan kerana gagal memulangkan hak royalti.

Terbaharu, DAP melalui Menteri Kewangan itu pula mendesak Kerajaan Sarawak untuk tidak mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas tayar import.

Sedangkan, katanya, Menteri DAP itu gagal menangani isu kenaikan harga bawang seluruh negara.

Berikutan itu, Zharudin mencadangkan semua ahli-ahli Parlimen DAP terutama dari Sarawak menyokong usul percaya mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal ke-14 kerana ia penting untuk kestabilan negara dan secara langsung kepada Sarawak.

Tambah Zharudin, DAP tidak pernah membuktikan parti itu dapat bersatu dengan mana-mana parti kerana agenda tersendirinya  sentiasa bertentangan dengan budaya berparti di Malaysia.

Buktinya dari zaman Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini, DAP berada dalam PH yang sudah menjadi kerajaan pun, parti itu gagal untuk bersatu.

Ada sahaja yang menyebabkan rakyat tidak puas hati terhadap tindakan mereka.

Ujar beliau, DAP juga tidak berjaya menunjukkan sikap ‘Malaysian Malaysia’ yang dilaungkan apabila imej mereka sendiri masih lagi ultra Cina, malah lebih kuat dan buktinya penentangan terhadap Jawi yang menjadi polemik di dalam pendidikan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan pintu belakang Pakatan Nasional bakal cetus dominasi Islam – Guan Eng