PUTRAJAYA – Lima wakil NGO yang menyerahkan memorandum bantahan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Perdana Menteri pada Jumaat lalu, selesai memberi keterangan kepada polis hari ini.
Kumpulan itu diketuai Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa, diikuti Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, Mohamed Saleeh Rahamad, Kamal Shukri Abdullah dan Wan Ramli Wan Daud hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang.
Mereka dipanggil memberi keterangan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman kerana bersama kira-kira 50 penyokongnya berjalan kaki dari Masjid Putrajaya ke pondok pengawal Pejabat Perdana Menteri di sini, pada 7 Februari lalu.
Menurut Mohd Zai, mereka berlima yang diiringi peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kira-kira jam 4.30 petang.
“Kami dipanggil untuk memberi keterangan kepada pegawai penyiasat IPD Putrajaya berkaitan dengan serahan memorandum bantah PPSMI lebih satu jam.
“Kami diberitahu tindakan menyerahkan memorandum bantahan itu telah melanggar Akta Perhimpunan Aman dan berhimpun tanpa permit,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan di luar pekarangan IPD Putrajaya.
Pada Jumaat lalu, lebih lima NGO menyerahkan memorandum bantahan PPSMI di Pejabat Perdana Menteri meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pemangku Menteri Pendidikan membatalkan hasrat itu.
Kumpulan itu berjalan dari Masjid Putrajaya selepas selesai solat Jumaat menuju ke pondok pengawal Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandu berkenaan.
Menurut Mohd Zai, tokoh NGO yang dipanggil itu mewakili Ummah, Mapim, Persatuan Linguistik, Gapena, Pena dan Asasi. – MalaysiaGazette