KUALA LUMPUR – Pemilihan kali pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan pentas untuk mengejar jawatan tanpa menyedari asas perjuangan parti itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, apa yang penting kepimpinan parti perlu diperkasakan kerana ia masih baharu dalam dunia politik negara.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kefahaman juga perlu ada dalam kalangan ahli untuk menyambung perjuangan yang telah dibina selama ini.
“Bila kita mengamalkan demokrasi, orang yang menjadi ahli perlu faham kita mengasaskan atas sebab tertentu dan perjuangan yang dibawa bukan tempat untuk pentas mengejar jawatan dan ahli-ahli kena memahami.
“Parti Bersatu masih baharu dan kepimpinan mesti diperkasakan untuk menyambung perjuangan yang diasaskan, jadi siapa-siapa yang hendak bertanding tidak menjadi masalah kepada saya sebagai salah seorang yang mengasas parti.
“Tetapi kena beri kefahaman kepada mereka, kita parti baharu jangan guna pentas pemilihan untuk kejar jawatan tanpa menyedari asas-asas pejuangan part,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan KONVENITA 2020 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas suasana kempen di kalangan ahli Bersatu ketika ini menjelang pemilihan parti yang semakin hampir pada minggu depan.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka yang mempertahankan jawatan Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah akan dicabar Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin serta Setiausaha Bersatu bahagian, A Lukman Ab Ghani.
Ditanya keharmonian Bersatu ketika ini, Mohd. Redzuan memberitahu semua berada dalam suasana baik dan tiada masalah.
“Keharmonian amat baik dan tiada masalah serta kita kalau boleh ingin menarik kita sebagai parti Melayu berhasrat tarik semua orang Melayu sertai Bersatu memperkasakan kepimpinan kita iaitu kepimpinan Melayu dalam memimpin bangsa Malaysia.
“Itu pendapat yang saya tidak akan bertukar dan menyatakan hasrat saya kita perkasakan dan pejuang politik orang Melayu dari sudut politiknya untuk memimpin Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“Jadinya siapa yang berkebolehan, yang boleh memimpin yang memahami perjuangan itu, saya galakkan mereka bertanding sebab kita oleh pamerkan barisan-barisan baru, contohnya barisan pelapis dan orang berpotensi untuk kepimpinan negara,” katanya. – MalaysiaGazette