GEORGE TOWN – Empat anggota bomba cedera selepas ditimpa dinding bangunan ketika memadam kebakaran melibatkan tiga buah rumah kedai dua tingkat di Lebuh Carnavon, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata mereka yang cedera terdiri daripada seorang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan tiga anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang membantu memadamkan kebakaran tersebut.

“Ketika mereka sedang melakukan semburan dinding bahagian tepi bangunan, tiba-tiba ia (dinding) runtuh sebelum menghempap mereka.

“Alhamdulilah, kecederaan yang mereka alami tidak serius dan semua empat anggota berusia lingkungan 30-an itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan serta mereka dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini malam tadi.

Katanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira 8.58 malam dan sebaik tiba mendapati api sedang marak di kedai kertas, kedai emas dan kedai alkohol itu.

Saadon berkata tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah pusat jagaan orang tua yang terletak di bangunan bersebelahan.

“Sebanyak 73 warga emas di situ berjaya dikeluarkan daripada premis tersebut oleh petugas di situ serta bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata 70 pegawai dan anggota bomba bersama tiga jentera daripada BBP Lebuh Pantai, Jalan Perak dan Bagan Jermal dibantu PBS terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu yang selesai sepenuhnya kira-kira 12 tengah malam.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat mengenai kebakaran itu, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba kerana berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke pusat jagaan orang tua tersebut.

“Semua warga emas itu telah dipindahkan sementara ke pusat belia di Lebuh Acheh dan Khoo Kongsi di Lebuh Kimberly. Saya difahamkan orang awam masuk ke dalam pusat jagaan tersebut membantu membawa keluar mereka, terima kasih atas keprihatinan semua,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast